Jumaat, 26 Februari 2010

Tolonglah Kesian Pada Orang Yang Kaya Dan Berkuasa!

Betapa susahnya hidup sebagai orang kaya dan berkuasa...

terpaksa memikirkan cara-cara agar fulus terus masyuk
terpaksa sogok sana,suap sini
terpaksa bodek si polan ini,ampu si polan itu
terpaksa rampas tanah orang,roboh rumah orang
Aduh,tentu seksa hati dan perasaan mereka tiada pilihan terpaksa begini!


Betapa susahnya hidup sebagai orang kaya dan berkuasa...

terpaksa menipu bangsa sendiri,membodohkan bangsa sendiri
terpaksa melaga-lagakan antara lain-lain bangsa
terpaksa tuduh bangsa lain buat kerja jahat
terpaksa menyamar dan menipu identiti bangsa untuk senang
Aduh,merana betul mereka terpaksa buat semua ini!


Betapa susahnya hidup sebagai orang kaya dan berkuasa...

banyak betul halangan,banyak tentangan
ramai yang dengki,tak mahu bagi jalan senang
ramai yang bikin kacau,tak nak biarkan saja mereka
Aduh,kesian betul mereka terpaksa tempuhi semua ini!


Betapa susahnya hidup sebagai orang kaya dan berkuasa...

terpaksa menaikkan harga barang
terpaksa menghapuskan subsidi
terpaksa mengorbankan orang miskin
terpaksa menyusahkan rakyat
Aduh,tentu menangis mereka terpaksa buat semua ini tiada pilihan lain!


Betapa susahnya hidup sebagai orang kaya dan berkuasa...

hendak makan pun susah
betapa tak enaknya makan di tempat-tempat orang biasa
tak lalu selera makan di tempat sebarangan
berasa tak indah pemandangan di tempat makan yang cuma pelayan Mat Bangla atau Burma
Aduh,kesiannya tak dapat raba-raba pelayan cun!


Tolonglah jangan hina orang kaya dan berkuasa
Tolonglah jangan marah pada mereka
Terpaksa buat segala macam itu dan ini
Tentu tidak lena tidur malam
Tolonglah faham
Cukup seksa hidup mereka!


p.s Selamat Menyambut Maulidur Rasul..Buat lah apa saja,asalkan yang baik..

Rabu, 24 Februari 2010

Kebodohan Dirayakan



Ilmu kini diukur dengan pelbagai cara yang sudah pun 'dimaterialkan'.Di sekolah, ilmu diukur berdasarkan kemampuan memberikan jawapan yang tepat atau memuaskan kehendak setiap soalan berdasarkan skema jawapan yang telah disediakan.Ini kemudiannya diwakilkan dengan nilai gred di dalam buku laporan.Tidak dapat dibezakan antara murid yang benar-benar memahami apa yang telah diajar dan murid yang cuma menghafal.

Itulah sebabnya adik saudara gua yang berada di kelas nombor satu dan selalunya mendapat kedudukan 10 ke atas dalam keputusan ujian dan peperiksaan, tapi malangnya tidak mampu menerangkan dan mengaitkan dengan hukum-hukum Fizik apabila diberi satu situasi 'real life'.

Guru dan sekolah tidak perlu memastikan anak-anak didik benar-benar faham akan subjek yang diajar.Mereka cuma memastikan para pelajar mampu menyelesaikan soalan-soalan peperiksaan.Hanya mengikut dasar dan kurikulum yang ditentukan oleh daulah melalui Kementerian Pendidikan.Period.Noktah.Tapi sila jangan salah faham - gua bukan mahu menghina atau memperlekehkan guru-guru, malah ayah gua sendiri seorang bekas guru.Memang ada guru yang cuba memecahkan proses bangang ini.Tapi guru-guru seperti ini amat 'rare' - susah ditemui seperti kasut bundle PF Flyers.

Peringkat selanjutnya,manusia mengukur ilmu dengan wang.Atau lebih tepat lagi,berapa banyak wang yang boleh dijana.Yang 'cerdik pandai' adalah yang boleh menjana pendapatan yang lumayan - tidak kira melalui cara apa sekali pun.Di mana modal terkumpul,disitulah kita mesti mengabdikan keilmuan kita.

Yang dianggap 'tak berguna' dan bodoh adalah mereka yang tidak menghasilkan sekurang-kurangnya RM 5 ribu sebulan,memiliki rumah sendiri,kereta,mempunyai gadget-gadget itu dan ini dan segala-macam barang konsumer.Bukan saja mengukur kebijaksanaan dengan material,malah mengukur 'keselamatan' dengan material.Orang yang selamat dan terjamin di dunia adalah yang melepasi piawaian bukan ditetapkan oleh SIRIM - tapi oleh materialisme yang dihenjut-henjut oleh kapitalisme.

Gua teringat akan siri sitcom Friends, di mana watak Joey membuat kita ketawa dengan komen-komen dan pendapat-pendapat dangkalnya.Seperti dalam satu episod dia memberi pendapatnya mengenai seorang pengarah teater terkenal - komen yang dikeluarkan olehnya cuma "he rocks!" .Para penonton pun terbarai ketawa kerana daya fikirnya mungkin cuma setaraf Pak Pandir lalu tidak mampu memikirkan pendapat yang lebih mendalam dari itu.

Di 1Malaysia ini ,lagi senang kita menemui mat-mat bebal seperti watak Joey.Yang bezanya,Joey itu cuma watak fiksyen tapi tanah tumpahnya darahku rakyat hidup bersatu dan maju ini cukup subur bagi orang-orang begitu untuk hidup senang.Cubalah buka televisyen dan tonton saluran-saluran tertentu dan dengarkanlah ucapan yang keluar dari mulut mereka.Kita tertawa melihat Joey dalam Friends tapi berbondong-bondong antara kita memuja dan mengagungkan orang-orang bangang dalam negara ini.Tidak kira lah sama ada mereka itu bintang lakonan atau penyanyi atau ahli politik dan tukang bodek mereka.

Filem-filem Hollywood walaupun semakin lama semakin banyak yang cukup teruk kualitinya tapi masih banyak yang memberi sumber ilmu dan pengetahuan untuk direnungkan.Betapa parahnya lakonan atau tidak logik jalan ceritanya,sekurang-kurangnya tidak merayakan kebodohan.Ada polis yang yang bertahan dengan prinsipnya tatkala di tengah-tengah budaya rasuah dan salahguna kuasa.Ada pejuang yang berusaha melawan demi kebenaran.Ada anti-hero yang berusaha mengatasi traumanya sendiri.

Bandingkan dengan cerita-cerita Melayu dan Indonesia.Balik-balik watak-watak utama yang menangis,menangis dan menangis lagi.Ada masalah sikit terus histeria atau emo dan pergi memandu seorang-seorang di tengah malam.Gaduh berebut awek atau balak.Buat lawak bodoh tahap Senario.Ni belum lagi masuk bab kualiti lakonan - yang itu buat letih gua nak cerita.

Merekalah orang-orang yang dipuji dan dipuja.Dijadikan idola dan sanjungan juga ikutan.Sanggup pula kita habiskan wang dan masa untuk menjadikan mereka ini hidup senang lenang.Ternyata mereka dianggap cukup menarik dan hebat.Di Amerika Syarikat ada orang-orang seperti Paris Hilton dan George W Bush yang mampu mencapai tahap 'kejayaan' tanpa memerlukan kebolehan intelektual.Di Malaysia,tak payah sebutlah mana-mana nama.Ramai sangat.

Maka nampak jelas ada konspirasi untuk menyebar dan memperkukuhkan budaya kebodohan.Orang-orang bodoh terus diberi ruang dan peluang yang luas untuk menjalar.Kebolehan mereka walau betapa rendah sangat tak ternilai.Janji cun atau tampan sikit,walaupun tiada bakat,boleh jadi kaya dan terkenal.Mampu membodek dan jadi pak turut,boleh hidup senang buat duit atas angin.Lebih ramai yang bodoh akibat terikut-ikut orang-orang bangang yang menjadi teladan ini lebih senang dan selamat lah daulah dan para pemodal dari tentangan rakyat.

Rakyat yang sepatutnya dan wajib bersuara dan melawan dasar-dasar dan tipu-helah yang menyusahkan hidup cuma melangok depan peti televisyen dan marah,kecewa.Bukan marah sebab yang itu.Tapi marah bila penyanyi idola mereka mendapat undian SMS yang paling sedikit.


Sepatutnya gua rasa marah sebab apa yang diperkatakan oleh 2 ekor "pejuang Melayu" itu bertentangan dengan fikiran dan pegangan gua.Tapi disebabkan dua ekor malaon yang bercakap tu bangang sangat,gua cuma ketawa berdekah-dekah.Nak menipu pun,biarlah berakal sikit. Mari berhibur.kahkahkah

Jumaat, 19 Februari 2010

Lantaklah

Bermula saat ini aku takkan pening-pening lagi
takkan geram lagi
pandai-pandai lah dia jalan sendiri
Buat apa peduli lagi? Akhirnya bukan saja dipijak-pijak
Serpihan kaca yang dia pecahkan bukan dia kutip sendiri

dia mahu disanjung
dia nak pengiktirafan
tapi kami yang lain ini cuma nak jadi manusia!

Mana pergi rancangan gempak semua?
kemana langkahan-langkahan dulu?
yang engkau gegak gempitakan
yang engkau cerita-ceritakan
yang harap pada kebersamaan
Cukuplah
jalan dah tak sehaluan

No man is an island
itu kata orang putih
dia sedar atau tidak nanti
tidak aku peduli lagi

Biarlah dia sekadar dengan talian hayat dari beribu batu tu
Itu pun kalau boleh bereskan semuanya
kalau tidak?lantak kau lah

Rabu, 17 Februari 2010

Dunia Yang Lain Masih Ada




Seolah-olah ada penentangan terhadap kapitalisme yang berlaku tanpa disedari.Yang berlaku tanpa adanya pemahaman komprehensif tentang apa itu kapitalisme dan juga mungkin tak tahu langsung kepala bana apa itu kapitalisme.Meskipun perlawanan seperti ini terlalu jauh dari kemungkinan untuk menggugat musuh apatah lagi menumbangkannya.Macam mana seseorang boleh menang dalam pertempuran bila dia tidak kenal musuhnya? Dalam bola sepak pun, jurulatih akan membuat persiapan dengan menayangkan video pasukan lawan dan menerangkan kepada para pemain agar mengenali lawan mereka.Kata Sun Tzu "Dia yang mengenal musuh dan dirinya sendiri tak akan berisiko dalam seratus pertempuran.Dia yang cuma mengenal dirinya sendiri tapi tidak musuhnya akan sesekali menang,sekali-sekala kalah.Dia yang tidak langsung mengenal dirinya ataupun musuhnya juga,akan sentiasa tumpas".

Bukan gua nak menyangkal pedoman dari Sun Tzu itu.Akan tetapi banyak perkara yang susah untuk kita huraikan.

Ketika gua terbang ke Sabah pada bulan puasa lalu,gua sempat berkunjung ke Tamu.Tamu ini bukan sekadar pasar .Tamu ini adalah sebuah pertemuan sosial.Mereka akan berborak,berkongsi berita dan gosip terkini sambil mendapatkan barang-barang keperluan.Tapi gua bukan merujuk kepada  Tamu Kota Belud atau Tamu Jalan Gaya di Kota Kinabalu.Lupakan saja. Tamu-tamu itu sudah tidak lagi asli.Budaya kota sudah lama meresap masuk.Gua tak akan terperanjat sekiranya tidak lama lagi tamu-tamu di tempat-tempat tersebut menjadi seperti Petaling Street - penuh dengan barang-barang murahan dan tiruan CCL (Chinese cheap labour).

Tapi bila ke sebuah kawasan agak jauh dari bandar,gua menyaksikan sebuah kegiatan ekonomi sebelum perkembangan kapitalisme yang masih berjalan hingga ke hari ini - Sistem barter.Di kawasan desa itu, setiap hujung minggu masyarakat setempat mengadakan tamu.Tamu yang masih tulen mengekalkan konsep barter.

Tapi jangan lah ingat boleh dapatkan Blackberry atau IPod di sana.Barang-barang yang boleh ditukar memang terbatas.Hanya hasil-hasil hutan,hasil-hasil kebun,sayur dan ikan sungai.Gua dan sepupu tidak mempunyai apa-apa untuk ditukarkan.Gua cuba melawak dengan mereka dan menawarkan telefon bimbit gua sebagai pertukaran.Jawapan yang diterima, " Yang ni nilainya wang." lalu dikatakan tidak boleh. Jawapan yang agak menghairankan tapi cukup "profound " bagi gua.

Walaupun mereka tidak mengerti atau kebarangkalian besar tidak pernah dengar perkataan kapitalisme tapi mereka seolah-olah melawan kebergantungan kepada wang ringgit.Jadi mereka mempertahankan kegiatan barter bukan kerana nak menjatuhkan sistem ekonomi keparat itu.Jadi apa sebab mereka?

Sempat kami bertanya kepada salah seorang pak cik di sana dan jawapan yang diberi cukup mudah.Tapi cukup bermakna.Untuk mempertahankan silaturrahim dan tradisi hidup bermasyarakat.Sebab dengan adanya tamu ini,mereka yang menetap jauh di pedalaman dan tersisih mempunyai kesempatan untuk bertemu setiap minggu dengan penduduk kampung itu dan vice-versa.

Mungkin mereka tidak mengerti kapitalisme.Mereka tidak melaung-laungkan slogan anti-globalisasi.Mereka tidak mendapat kesedaran melawan arus melalui lirik-lirik lagu.Mereka tidak kenal
Marx,Engels,Lenin,Trotsky,Bakunin,Proudhon, et al.Mereka tidak membaca apa-apa karya revolusi.Tapi kesungguhan mereka untuk meneruskan dan mempertahankan tradisi pertukaran barter amat kukuh.Silatrurrahim dan hidup bermasyarakat - bukan ke ini sudah kian pudar dalam kehidupan yang berteras kepada kapitalisme yang mewujudkan individualisme? Bukan ke hubungan yang paling penting dalam masyarakat penjunjung kapitalisme hanyalah hubungan produksi yang menghasilkan modal? 

Maka tidak salah bagi gua untuk menggelar mereka ini sebagai penjunjung "counter-culture".Mungkin mereka tidak ambil pot dengan apa yang kita hendak lawan namun bagi gua mereka ini pejuang yang tulen,yang benar-benar percaya akan kebenaran mereka.

Seperti yang gua tulis awal tadi - kadang-kadang ada perkara yang susah atau tak mampu kita huraikan dan jelaskan mengapa - seperti balak dan awek masih atau kembali bersama walaupun mengharungi segala macam halangan (cinta yang melawan halangan ini satu revolusi tapi itu cerita lain untuk lain kali lah) atau "anti-kapitalis tanpa sedar" di pasar tamu pengamal sistem barter.Mengapa? Jawapan yang paling hampir mungkin - kerana dalam hidup ini banyak perkara yang magik.

Setidak-tidaknya,mereka ini seolah-olah satu pemberi ingatan kepada kita bahawa dunia yang lebih baik bukan setakat mungkin atau boleh ada - seperti yang dilaungkan dalam slogan-slogan haluan kiri.Tapi dunia yang lain dan lebih baik memang wujud.Masih ada.

Isnin, 15 Februari 2010

Mengembara Atau Pulang





Sinar mentari makin tertinggal di belakang.Senja sudah datang berkunjung.Ini ertinya sampai masa untuk pulang - masa macam ni,burung-burung mula kembali ke sarang.Perahu-perahu nelayan menuju ke pantai.Gua pun sama dalam perjalanan pulang.

Gua dikejutkan dari lamunan akibat kepala yang terhantuk pada cermin tingkap bas yang terus memecut laju.Penumpang di dalam bas kebanyakannya sudah terlelap.Kelihatan ada yang menguap-nguap.Hampir semua adalah kaum pekerja dari negara luar yang kepenatan setelah seharian memerah tenaga dan fikrah.Mungkin ada yang bermimpi manis utopia - hidup yang tidak lagi memeritkan.Atau cuma mimpi dapat pulang bersama ke tanah asal untuk bersama yang tersayang dan yang rapat.

Deru enjin bas kedengaran lantang dan menyakitkan telinga cukup sesuai dengan kehodohan pemandangan di kiri dan kanan luar tingkap bas.Membosankan,hari-hari begini tanpa benda baru.

Tidak lama lagi bas akan sampai di perhentian di mana gua akan turun.Pulang ke rumah.Tapi fikiran gua masih dikuasai lamunan di dalam bas tadi.

Gua rindukan pengalaman lepas.Ini bukan semacam sebuah kenangan.Bukan cuma memento suatu perjalanan.Ini sebenarnya kesan mendalam akibat sebuah perjalanan.Tentang suatu pengembaraan.Nak kata petualangan, itu dah terlampau menaikkan saham sendiri.Belum layak gua digelar petualang.Pengembaraan yang menimbulkan segala macam pertanyaan dan pencarian jawapan.Yang banyak membuka mata,hati dan minda.

Lalu gua teringat kepada seorang ahli falsafah terkemuka Jerman yang butir-butir pemikirannya disebut-sebut sebagai antara yang paling berpengaruh ketika Zaman Pencerahan.Dia ini, tidak pernah meninggalkan kota kelahirannya di Prussia Timur - sekurang-kurangnya tidak pernah keluar jauh dari kota itu,sepanjang hidupnya selama 80 tahun.Gua tak boleh bayangkan di zaman ini sekiranya ada lagi orang seperti itu.Yang tidak pernah bersemuka dengan wajah-wajah bukan setempat,tak pernah langsung mendengar percakapan lidah asing.(Walaupun kalau cuma terperap dalam Kota Lumpur ini pun bermacam bahasa dan bangsa yang kita boleh dengar dan lihat.)

Selama 5 tahun sebelum tahun lepas sudah cukup membuatkan gua kenal dengan rasa yang bernama rindu mahu pulang tempat halaman.Bayangkan perasaan orang seperti Isham Rais yang tidak dapat pulang selama 20 tahun! Di setiap perjalanan.Di setiap tempat persinggahan.Di setiap perantauan - pastinya ada saat dan ketika rasa mahu pulang ke tempat asal menyerbu datang.Itu lumrah.

Tapi pengalaman gua yang sudah berlalu banyak memberi pengertian baru betapa indahnya perantauan dan pengembaraan.Sebuah perjalanan ibarat air yang mengalir - yang membawa kita ke semua jenis sungai-sungai,jeram mahupun parit.Sebuah pengembaraan adalah adalah arus sungai yang membawa sehelai daun dari muara terus ke lautan yang terbentang luas.

Mungkin kita akan disambut dengan pertemuan rakan-rakan baru yang sekepala,menemui cinta atau sesiapa saja yang barangkali kita tidak pernah jangka akan berjumpa.Mungkin kita akan berpeluang menyaksikan pemandangan alam yang belum pernah kita lihat, atau betapa jauhnya peradaban manusia telah berkembang, atau merasakan sendiri trauma sebuah negara akibat kegilaan manusia seperti serangan-serangan bom 7 julai 2005 di Kota London.Atau keamanan dan ketenteraman di sebuah desa.

Menjadi perantau mungkin mengubah sepenuhnya makna rumah atau tempat tinggal dalam maksud yang biasanya atau pengertian konvensionalnya.Seorang pengembara mungkin tidak perlu risau akan sesiapa yang menantinya di rumah kerana tidak ada pun.Kerana sentiasa berjalan dan melihat maka seluruh alam ini adalah rumahnya.

Rumah bukan lagi semacam satu konsep yang mengarah kepada pusat kestabilan - yang membataskan langkah dan hala tuju.Rumah akan selalu "dibina" dan diberi makna dalam setiap bibit dan babak baru - yang ditemui dalam kawasan yang tidak terbatas.Mungkin kerana itu, rumah tidak dicari di luar susuk diri. Diri telah menjadi pengganti tempat dan fungsi rumah.Seorang pengembara berumah dalam diri sendiri.

Gua masih ingat kali pertama gua disurahkan tentang mengapa rumah banyak menyusahkan kemanusiaan.Ketika itu gua remaja dan scene underground kita ketika itu sedang di kemuncak atau sebenarnya di penghujung zaman keagungannya.Geng anarko punk bersurah bahawa rumah mengikat dan memporak-perandakan manusia.Rumah memaksa manusia membayar sewa,berhutang dengan bank untuk memilikinya,membeli perabot dan segala macam itu dan ini kita terpaksa buat dan terikat.Ini ditambahkan lagi dengan berbagai-bagai pembikin stress yang lain seperti bunyi bising radio,televisyen,salakan anjing,suami isteri bertekak.Rumah menghadirkan senarai panjang urusan dan aktiviti yang membebankan dan tidak menggembirakan manusia.

Seterusnya,hujah mereka ditambah lagi bahawa hidup yang benar-benar tulen dan sejati adalah dengan mengembara.Manusia harus berkeliaran jika nak mencari kebebasan dan kebahagiaan.Tanpa rumah,istilah pulang atau pergi tidak wujud.Hakikat hidup adalah melihat dan meneroka.Sekadar 'melawat' atau 'menziarah',kemudian bergerak ke haluan dan tempat lain.Tidak ada yang tetap dan mengongkong.Dengan rumah,manusia menggali kubur sendiri.Kubur yang menimbuskan nilai kemanusiaan.

Maka manusia harus kembali ke jati dirinya yang asli, iaitu kembali ke zaman sekuno mungkin. Ke nenek moyang. Kepada ini yang sepatutnya kita pulang.Itulah makna sebenar pengembaraan kehidupan yang membuat kita teruja dan ghairah. Dalam mengembara, kita hanya menjumpai kewajipan yang seketika,yang tidak mengikat - terhadap dan daripada orang lain, tempat atau harta benda.

Memang kedengaran terlalu idealistik.Namun memang benar pun apa yang diperkatakan mengenai rumah dan bebannya terhadap kemanusiaan.Tapi gua kira di kala ini dah tentu tak ramai yang sanggup kembali menjadi semacam manusia kuno yang nomadik,sentiasa bergerak ke sana sini.Kita kini hidup di zaman yang menuntut manusia supaya menemui ketetapan atau kestabilan,mungkin jaminan.

Agak ironik.Sebab dengan kemajuan teknologi yang sangat pesat,kewujudan alat dan gadget canggih serta pengangkutan sepatutnya membantu dan memudahkan kita menjadi pengembara.Tapi kita menjadi semakin 'manja'.Naluri penerokaan kita telah ditumpulkan.Mungkin kerana benda-benda teknologi ini membuatkan kita sukar untuk melupakan zon selesa kita yakni rumah walaupun kita sedang berjauhan dengannya.

Para pengembara,perantau,kelana,petualang - yang sejati - mungkin sudah tertinggal di masa lampau.Cuma boleh kita temui dalam catatan-catatan sejarah.Tapi gua tertanya-tanya.Adakah jika masih ada petualang di waktu ini,dia menjadi begitu kerana keadaan yang memaksanya hidup dalam buangan?Seperti kerana dia sebatang kara tanpa sesiapa pun? Atau apakah si kelana tiada pilihan sebab rumah dah dirobohkan kerana tanah dirembat? Atau si petualang terusir kerana perbuatannya dianggap salah atau mengancam orang-orang tertentu? Entah lah.

Tapi mungkin kita tidak semestinya menjadi pengembara dalam erti kata yang ortodoks.Tidak secara fizikal.Kita mungkin boleh mengembara melalui minda - mendengar,membaca,meneliti dan berfikir. Atau mengembara melalui muzik dan juga seni lain - sentiasa mencari yang belum kita ketahui agar kita tidak terlekat pada zon familiar,tidak asyik pulang kepada yang sama.Lagi baik kalau ianya membuat kita meneroka lanjut dengan hasil sendiri.Banyak kita boleh lakukan atas nama meneroka.Orang putih cakap, "familiarity breeds contempt".Benda yang sama membuat kita rasa menyampah.

Ahad, 14 Februari 2010

Bila Banyak Sangat Persoalan Dan Ketidakpastian





Terlampau banyak hal yang berlaku di dunia.Segala macam perkara - baik dan buruk.Tapi yang buruk jauh lagi banyak,lebih dari majoriti dua pertiga,seperti yang diimpikan BN dalam parlimen. Ada sesetengah orang percaya dunia akan kiamat tahun 2012 nanti.Kalau betul,bagus lah wei! Sebab ramai,termasuk gua,yang dah gerun dan tak sanggup memikirkan lagi macam mana masa depan di dunia- terutamanya di 1Malaysia ni.

Saluran media pembodek saban hari memuntahkan berita si malaon besar ini pergi jalan kat Petaling Street tunjuk muka konon mesra rakyat,si timbalan malaon besar pula cakap ada orang-orang di Hong Kong dengki kepada negara kita yang hebat ini lalu menabur fitnah.Rakyat Malaysia cukup makmur dan gembira,menurut si malaon itu lagi.Apa lagi berita? Kisah Tiger Woods lepas tu John Terry pulak. Akhbar terulung negara yang mencanai minda rakyat pula semalam keluarkan berita Ziana Zain melecur terkena air panas.Ok,terima kasih kerana beritahu semua itu.Sangat berguna.

Di saluran-saluran alternatif yang boleh dipercayai pula,ada berita si katak yang cukup gemarkan padang golf berkata dia melompat atas nama Tuhan.Fuyoo! Dan ada lagi berita berudu-berudu yang bakal menjadi katak.Kapal selam rosak tak boleh selam tapi ada mat bebal cakap kat wartawan "ini tidak menjejaskan operasi kapal selam berkenaan".Lepas itu tadi ada berita seorang setiausaha kepada seorang malaon ni ditangkap kerana rasuah.Woit,cukuplah.Berdarah otak gua.Kadang-kadang ada benar juga pepatah "ignorance is bliss".

Hari-hari gua baca benda-benda macam tu.Fakta,khabar angin,dongeng,kelentong,putar-belit.Berulang-ulang benda yang hampir sama hampir setiap hari.Hidup ini satu pengulangan.Bentuk dan corak yang hampir sama datang dan pergi kemudian datang semula dan gua wonder apalah tanda dan maknanya kepada dan mengenai hidup kita.Tomok pernah menyanyi "sejarah mungkin berulang".Dia kurang tepat,sekarang sejarah memang sentiasa berulang.Tapi sejarah ni pun bikin pening lah.Biasanya yang 'menang' dan berkuasa yang menulis atau mengawal sejarah.Ini berlaku di mana -mana pun.Susah nak pastikan benar-benar sahih atau tidak.Lalu membuat gua merenungkan berapa banyak yang kita yakini itu betul dan berapa banyak pula ilusi yang disuapkan kepada kita.

Kita berada di zaman di mana sesiapa pun boleh menyiarkan apa saja - tulisan,video,gambar,etc ke seluruh dunia.Dan cuma harga tiket kapal terbang saja yang menghalang kita untuk menjejakkan kaki hampir di mana-mana tempat dan ceruk di dunia ini.Nampaknya kita manusia kini sudah berada di kemuncak pengetahuan dan penemuan dalam apa saja bidang yang ada.Kita seperti sudah tahu apa saja untuk diketahui.Tapi kita masih banyak keraguan dan ketidakpastian.Kita masih bergelut,berkejar,terburu-buru - nampaknya ada sesuatu yang belum kena dengan kita.Tapi kita pun tak tahu apa dia.Atau kita hidup kita sekarang ini cuma satu kepura-puraan dan kepalsuan.Suka gua untuk mencuri dan mencacatkan sedikit ayat Charles Dickens di sini, "The best of times,the worst of times".Itulah kita di kala ini.

Bila gua meluangkan masa mencari,membaca,meneliti bermacam-macam berita,tulisan dan apa saja bentuk maklumat - kadang-kadang terlintas di benak kemungkinan kita manusia semakin "de-volving" ,devolusi bukan evolusi.Mungkin kalau Charles Darwin hidup semula dan memikirkan apa yang berlaku zaman kini,dia akan mempersoalkan dan meragui malah mungkin akan menarik balik teori evolusinya.

Kita hidup dalam era yang mengelirukan.Makin hari,kita makin susah untuk terkejut dengan apa-apa yang berlaku.Kita sudah mamai,mabuk,lena dan lali dengan muntahan pembohongan,putar alam dan pengkhianatan yang dihidangkan sebagai santapan harian.Kita bagai sudah menuju semula kepada mentaliti 'barbaric' nenek moyang zaman purba kita.

Sejak dari kecil kita sudah belajar berebut,belajar "berperang".Kita berebut ketika bermain jongkang-jongket di taman permainan.Semasa remaja,mungkin berebut awek atau balak.Sampai besar dewasa pun macam ini.Prang di sana-sini.Tidak semestinya perang bersenjata.Melayu vs Cina,lelaki vs perempuan,rock vs hip hop,timur vs barat,Malaysia vs Indonesia,segala macam vs lah.Kalau dah melibatkan agama,lagilah bikin panas,bikin kacau-bilau.Makin besar makin macam lahanat manusia ni,makin devolusi.

Memang sering orang memberitahu bahawa banyak yang kita nampak,rasa dan alami di sekeliling kita adalah ilusi.Akibat daripada manipulasi terhadap ketakutan kita - yang seterusnya membuatkan kita secara tidak sedar menkonstruk lagi lebih banyak ilusi lanjutan.Pernah gua dengar sebuah analogi yang dunia dan persekitaran ini adalah bagai wad gila dan matlamat kita adalah untuk survive mengekalkan pandangan kita kepada fakta dan kebenaran.Gua tidak meragui teori-teori wujudiah seperti itu.Akan tetapi seperti kalau kita masuk ke dalam tangki kumbahan,sudah tentu kita tak dapat elak dari terkena sisa kumbahan.Ertinya walaupun kita memahami bagaimana kita dimanipulasi, tak mungkin kita sendiri boleh elak dari terkena juga - kerana kita bukannya hidup di dunia yang berbeza dari orang-orang lain.

Sesetengah orang berkata bahawa realiti itu adalah apa yang kita mahukan sebagai realiti atau fakta.Lain orang pula cakap kita akan sentiasa berada dalam telunjuk atau penentuan orang lain yang lebih berkuasa dan ada yang cakap,pinjam ayat Khir Toyo - "semuanya OK!",tak payah nak risaukan apa-apa.

Bila bercakap mengenai fakta,hakikatnya fakta boleh berubah.Ini pasti masing-masing pun pernah alami sendiri.Apa yang diterima sebagai fakta - atau pengetahuan yang diterima umum, boleh berubah dari satu generasi ke generasi yang lain.Yang diterima sekarang,mungkin ditongsampahkan minggu depan,bulan depan,tahun depan dan sekian.

Generasi ibu dan ayah kita dipengaruhi dan dibentuk atau sebenarnya, dimomokkan oleh tragedi 13 Mei 1969.Tapi hantu silam itu dah makin di"exorcise" atau dihalau dan ditenteramkan.Trauma dan ilusi lampau kian terhakis.Kini generasi kita anak-anak muda kini digilap oleh kisah 1998 dan 8 Mac 2008.Kita tahu dalam sejarah,sentiasa akan ada peristiwa besar yang akan merobohkan tembok-tembok lama peristiwa yang berlangsung sebelumnya.Peristiwa demi peristiwa akan terus berlaku.Hah,kan betul Tomok cakap,sejarah berulang .Persoalannya cuma sama ada akan sampai nanti peristiwa yang akan membina semula dinding yang dah jatuh atau pun terus menolak lebih luas ruang yang ada.

Pernah gua diberitahu bahawa kita cuma memerlukan tiga generasi untuk mengubah pemikiran sebuah negara bangsa.Tapi yang tiga generasi itu bermula bila?Generasi pertama untuk perubahan dah bermula belum?Sekarang yang ke berapa daripada tiga tu?Berapa lagi generasi sebelum berubah? Ni yang leceh ni,tidak ada siapa boleh pastikan atau beri jawapan.

Gua banyak menghabiskan masa meneroka apa orang kata dan fikir - tidak kira daripada yang hidup,yang telah mati,yang bakal mati,yang bijak pandai,yang biasa,yang bodoh,yang ignorant atau bodoh sombong,yang yakin,yang tak yakin,dan dan dan.Kerana mahu mencari kebenaran atau sekurang-kurangnya petunjuk.Segala jenis orang dan sumber boleh memberikan kita sesuatu.Tapi gua lebih berminat dengan mereka yang belum menemui kepastian dalam fikiran mereka.Mereka yang masih menanya,bertanya dan mempersoalkan.

Bila gua melayari laman-laman,portal-portal dan blog-blog,gua nampak banyak tenaga,masa dan fikrah dilaburkan untuk mencernakan fakta-fakta dan maklumat.Tak kiralah sama ada yang mengajak kita meneliti fakta berita dan membuka minda terhadap pembohongan sambil berkahkahkah atau yang membetulkan fakta,mahu pun yang menghasilkan putar-belit untuk melawan putar-belit dan yang menghasilkan putar alam serta yang mempertahankan auta dan pembohongan.Kita cuma boleh mengikut tanda dan isyarat yang diberi.

Jika kita terlalu memikirkan perkara-perkara yang terjadi di sekeliling kita,di negara kita dan juga dunia,kemungkinan kita menjadi takut,kecut dan pessimistik.Akan tetapi jika kita menganggap yang kita akan selamat,tak terancam dan selesa dengan tak ambil pot langsung dan tak lakukan apa-apa,itu perangai bodoh sombong.Inilah dilema atau conundrum yang terpaksa kita hadapi.

Sebab itulah,walaupun sekarang ini kepala otak gua cukup letih dan muak dengan segala macam benda yang gua benci, gua akan tetap membaca dan memerhatikan pemberitahu fakta dan pemutar ilusi.Akan gua terus cuba mencari corak-corak dan tanda-tanda untuk menemukan makna dan fakta.Sebab semuanya berulang-ulang,datang dan pergi,datang semula.Hari ini gua hilang mood,esok pasti kembali semula.Dan maaf tulisan ini agak tak teratur.Fikiran berterabur.


Tapi sempena malam di hari yang gumbira ini,fakta ini saja yang gua fikir hehehe  :

Sabtu, 13 Februari 2010

Antara Kedai Bundle dan 'Spectacle'



Gua amat menggemari kedai-kedai bundle.Sekurang-kurangnya sebulan sekali gua akan meleser ke sekitar Chow Kit terutamanya, untuk berbelanja di kedai bundle.Rasa-rasanya hampir 80% pakaian dan kasut-kasut gua adalah barangan bundle.Ini bukan kerana gua seorang yang kedekut atau menganggur tapi kerana gua menganggap inilah salah satu cara gua memprotes budaya konsumerisme kapitalis atau sebenarnya,lebih tepat lagi - mengurangkan sumbangan gua kepada budaya celaka itu.

Tapi kebelakangan ini kian ketara satu lencongan yang makin memesongkan budaya membeli barangan bundle ini - kedai-kedai yang menjual bundle pada harga yang mahal sekali.Harga sudah macam butik-butik di Pavilion atau The Gardens.Kalau dulu mungkin cuma kedai Buntil yang menaikkan barangan bundle ke tahap eksklusif tapi kini kedai-kedai "bundle eksklusif " tumbuh bagai cendawan.Tak kira apa jua alasan - barang 'rare',barang yang sudah tiada dalam pasaran atau barang tidak lagi dalam production - gua tetap menganggap ini sudah sesat dari niat sebenar bundle.Kalau harga kasut bundle boleh cecah beratus-ratus,macam ini tak ada beza dengan berbelanja di butik-butik designer.

Bundle yang dulunya sinonim dengan semangat melawan arus kini telah dijebak dengan apa yang dipanggil sebagai 'spectacle'.Sebenarnya apa yang terjadi kepada bundle kini adalah akibat budaya underground dan indie yang terlebih dahulu dipesongkan menjadi 'spectacle'.Budak-budak indie poseurs yang mahu dilihat cool akan membeli barangan bundle.Padahal langsung tak faham tujuan asal bundle apatah lagi  niat asal musik yang mereka layan itu.

'Spectacle' ini bukan cermin mata,yang itu 'spectacles',ada 's' dihujung.Spectacle adalah satu teori Situationist dan Marxist yang diterangkan oleh Guy Debord melalui bukunya The Society of The Spectacle.Debord melanjutkan lagi konsep Theory of Alienation oleh Karl Marx .'Spectacle' adalah satu ilusi yang diwujudkan melalui komunikasi media moden,terutamanya.Apa yang tulen digantikan dengan representasi.Imej-imej digunakan untuk mengasingkan sesuatu dari sumbernya dan disusun semula untuk membentuk representasi yang seiring dengan ideologi kelas yang berkuasa.Kita diperdayakan melalui imej-imej yang menyebabkan kita menganggap apa yang kita nampak itu adalah apa yang kita mahu dan perlukan.Seperti yang diperkatakan oleh Guy Debord, "“All that was once directly lived has become mere representation”.Kita tidak lagi hidup pada realiti tapi cuma pantulan dari realiti.

Contohnya,sebuah iklan kereta di televisyen menunjukkan betapa senang-lenang nya si pemilik kereta yang tidak perlu bergelut dalam kesesakan LRT atau bas bila pergi kerja.Dia tersenyum ketika memandu dan begitu selesa.Ini untuk memberi satu ilusi kepada kita bahawa hidup kita akan lebih baik dan sempurna dengan memiliki kereta.Akan tetapi,pada realitinya kita tetap terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas,terpaksa membayar hutang setiap bulan kepada bank kerana membelinya,membayar kos membaiki kereta jika rosak dan sebagainya.Hidup kita tetap susah juga,tak tersenyum macam kerang busuk seperti model iklan itu.

Spectacle adalah satu sistem penyusunan semula fikrah manusia yang  menjadikan manusia terasing (alienated),sekadar mengamat dan membuat kata putus atas penerimaan imej-imej yang terbatas.Tapi spectacle bukan sekadar sebuah kumpulan imej-imej tapi sebenarnya ia adalah hubungan atau jaringan sosial antara kita manusia yang dikawal dan dipengaruhi oleh imej.Hubungan nyata antara manusia tidak dihubungkan terus tetapi akan melalui imej terlebih dahulu.Imej menjadi perantara atau orang tengah.

Contoh kepada ini,seorang selebriti seperti David Beckham atau Robert Pattinson mengubah gaya rambutnya maka ramailah anak-anak remaja seluruh dunia meniru gaya rambutnya - kerana bintang seperti mereka dianggap sebagai imej ideal untuk diasosiasikan.Ketika ini,tatkala Hujan dan Bunkface naik popular,tiba-tiba muncul begitu ramai budak-budak sekolah yang mahu jadi 'indie' dan 'underground' -  mereka cuma menjadi konsumer yang diperdaya oleh 'spectacle'.Kalau zaman gua sekolah dulu,semua memandang hina dan jijik terhadap budak-budak underground.'Indie' dan underground ini dulunya diserang di zaman pemerintahan Mahathir Mohamad kerana menghasilkan anak-anak muda yang melawan arus,kini telah diolah dan asingkan dari imej asalnya dan digantikan dengan imej sekarang ini yang tidak berbahaya kepada pemerintah.

Akan tetapi proses pensemaian spectacle ini bergerak lebih jauh dan lanjut - spectacle menjadi topik utama percakapan,perbualan dan perbincangan.Komunikasi tentang perbualan hidup yang nyata diketepikan dan didominasi oleh borak-borak mengenai Akademi Fantasia contohnya.Sering kita dengar orang-orang bercakap tentang hal remeh seperti ini ke tahap seperti berdebat malah ada yang sampai bertelingkah dan marah-marah.Hal-hal yang benar-benar mempengaruhi hidup seperti polisi-polisi yang dibuat oleh kerajaan yang mendatangkan kesan kepada hidup langsung tidak dihiraukan.Spectacle telah berkesan digunakan untuk melalaikan kita daripada berfikir dan mempersoalkan perkara-perkara yang sepatutnya.Kita telah menjadi 'pacifists'.

Imej-imej spectacle menyedut 'hidup' daripada kehidupan itu sendiri - Mengakibatkan hidup sekarang ini makin lama makin plastik.Kita berusaha untuk mengejar dan mendapatkan imej-imej yang dianggap dapat menampilkan diri kita atau memberi makna kepada wujudiah kita.

Bahkan dalam hubungan percintaan,kita secara terus-menerus mahu meletakkan imej yang kita mahu antara sesama sendiri. Hukum 'memberi dan menerima" makin hilang.Pada sudut lain,ramai juga yang mahu ada hubungan cinta kerana nampak orang lain pun bercinta.Seolah-olah jika tidak,kita ada masalah besar.Kita merasakan kita akan dianggap pelik atau juga dilihat sebagai 'loser' atau kita merasakan yang kita akan mati kesunyian tanpa kekasih yang tetap.

Barang dan komoditi yang dihasilkan oleh titik peluh golongan pekerja proletariat - yang merupakan bahagian penting kepada spectacle,dijual kembali kepada proletariat.Spectacle telah menyebabkan dorongan konsumpsi yang semakin meruap-ruap.Semakin lama,semakin sedikit pertukaran yang tidak dilakukan tanpa wang ringgit.Konsumpsi komoditi menjadi satu-satunya bentuk konsumpsi yang ada.

Boleh disimpulkan bahawa spectacle adalah modal atau kapital yang dalam peringkat tertentu telah terkumpul menjadi imej.Spectacle adalah modal yang menciptakan sebuah dunia yang berisi imejnya sendiri.Dalam kata lain,modal adalah 'tuhan' kepada material dan 'spectacle' adalah agama material.Spectacle - dalam segala macam bentuknya adalah 'spectre'(hantu)  yang telah menguasai dunia. Dunia yang telah didodoikannya.

Jika hendak berlagak kaya,kita tak perlu bersusah-susah - boleh meminjam dengan bank atau melabur dalam pasaran saham.Jika hendak menjadi pandai - cuma belajar dengan menghafal kandungan sukatan pelajaran. Jika mahu menjadi seorang yang ada nilai kemanusiaan - cuma derma kepada tabung bencana.Jika ingin memberontak - cuma layan lagu-lagu Bunkface dan beli pakaian bundle mahal-mahal. Itulah dia adalah antara contoh-contoh bagaimana hidup kita sama ada sedar atau tidak, sedang diatur oleh spectacle.


p.s Selamat Hari Kekasih dan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua. Contohi kegagahan harimau.Tapi bukan Tiger Woods.

Khamis, 11 Februari 2010

14.02.2007 - Cerita Semalaman Di Kota London

Sophie datang tengahari itu.Mengajak gua meleser sekitar jalanan Kota London.Sophie datang kepada gua dengan kereta indah dari abad Renaissance.

"Mari,bersamaku ke London malam ni.Kita jadi flaneur dan flaneuse malam ni.", katanya dengan senyuman sambil menghulurkan tangannya dari dalam kereta.

Gua teruja melihat pakaiannya.Hitam dan longgar,dengan topi lebar yang juga berwarna hitam.Lalu gua teringat dengan gambaran ahli sihir dalam cerita-cerita dongeng.Tapi gua fikir - ahli sihir tak naik kereta,mereka naik penyapu terbang.Rambut hitam keperangan yang terurai indah kelihatan serasi dengan senyuman yang cukup manis yang terukir di bibirnya.Tambah pula dengan ucapan bahasa Inggerisnya bercampur loghat Marseilles yang agak pekat.Eksotik di telinga gua.
( disclaimer: Tapi yang pasti,tatapan matanya tak seindah tatapanmu,Dila)

Kereta yang ditarik dua ekor kuda coklat pekat itu bergerak perlahan.Tak ada goncangan akibat hentakan kasar dengan jalan.Kereta berjalan bagai diiringi petikan irama gitar klasik yang merdu lagi lembut.Perlahan-lahan,London di kala Renaissance mula terbentang.Jangan dibayangkan jalanan Kota London seperti sekarang.Zaman itu tiada satu pun Tesco,Sainsbury's mahupun stadium bola sepak.Tak ada bayang atau jejak industri.Bahkan gua tak dibawa mengelilingi cerobong-cerobong kapitalisme industri moden.

Kami mula berjalan kaki.Sophie membawa gua ke sudut-sudut kota yang sering terabai.Yang kebanyakan orang tak akan ambil pot sangat.Tempat-tempat biasa dan bukan tempat istimewa.Tetapi menyimpan tanda dan pesan yang kuat dan penuh bermakna.

Entah kenapa,Sophie pertama sekali membawa gua ke sebuah tempat yang kelihatan seperti merupakan kompleks pasar lama yang telah ditutup.Seorang lelaki tua kelihatan berjalan terhenjut-henjut dengan sebelah tangan di pinggang.Kasutnya yang lusuh seperti mengisyaratkan bahawa dia telah menempuh perjalanan yang panjang melintasi beratus musim yang berlalu - keseorangan,suka dan duka.Tapi gua yakin mungkin tiada langsung suka yang dialaminya cuma duka yang tak berakhir.Wajahnya lesu.Renungan matanya kuyu saja.Akhbar lama digenggam tangan kirinya.Mungkin dijadikan alas penggung ketika duduk atau alas kepala semasa tidur.

Tapi langkah kakinya kelihatan tetap menyimpan saki-baki semangat.Dia tetap berjalan ke depan meskipun dalam kegelapan malam yang disuluhi lampu jalan.Gua tertanya-tanya,ke mana kah hala tujunya?Ke rumahnya?Gua pasti bukan.Apakah ada sesiapa meresahinya sebab telah lama tidak pulang?Apakah ada seseorang yang menantinya di tempat yang dituju?Adakah dia ada mana-mana untuk dituju?

Masa berlalu.Malam semakin lewat.Jalanan semakin tiada orang.Kami tiba di sudut lain kota itu.Di sudut lain itu kelihatan seorang perempuan tua berjalan dengan langkah yang agak laju.Agak terburu-buru.Rambutnya kusut.Pakaiannnya kotor,seperti kain buruk yang digunakan untuk mengelap.Kedua-dua tangannya memegang dua beg yang hampir penuh berisi.

Di hadapan sebuah kedai makan,di bawah sebatang tiang lampu jalan yang sudah makin lemah sinar cahayanya, seorang perempuan menyapanya.Tapi perempuan tua tidak melayan.Seperti tiada langsung masa untuk menjawab sapaan.Dia terus melangkah dengan lebih laju.Mugkin dia mahu cepat kerana telah larut malam.Mungkin dia tergesa-gesa kerana ada anak yang menunggu.Tapi yang jelas dia ketakutan.

Sudah pun larut malam.Dan hari pun akan segera berganti.Kami di sebuah kawasan di luar pusat kota.Sophie membawa ku ke sebuah kafe yang buka sepanjang malam.Cukup ramai yang mengunjunginya - kerana suasananya yang menyenangkan dan santai.Di malam hari dua buah pokok besar yang kukuh berdiri kelihatan seperti sepasang kekasih.Gua tersenyum.Memang sesuai dengan tarikh hari itu.

Di kedai itu gua bertemu kembali lelaki tua tadi.Agak jauh dia menapak sampai ke sini.Dia duduk sambil menikmati secangkir teh.Saat gua tatap orang tua itu ,dia sedang mengarahkan pandangan ke cangkir yang ada di depannya.Matanya lekat pada cangkir.Cara dia menatap cangkir itu seperti dia sedang mengenangkan dunianya - yang entah bagaimana ,tidak gua tahu.Lama betul dia begitu.Gua tidak terus memandang ke arahnya.Pandangan gua diarahkan ke sana sini sekeliling tempat itu.Namun sesekali mata gua kembali fokus kepada orang tua tu.Kemudian dia pun bangun meninggalkan kedai itu.

Sophie rupa-rupanya sedar bahawa gua sejak dari tadi asyik memerhatikan orang tua itu yang kini sudah pun hilang dalam kegelapan malam entah ke mana.

Sophie tiba-tiba berkata “Jadi, bagaimana? Awak akan berkata kepada saya bahawa awak sekarang merasa sendiri?”

Sophie berkata begitu sambil merenung ke arah kegelapan di luar.

"Saya harap jalanan Kota London akan membuat awak menilai kembali fikiranmu.Paling tidak,awak akan sedar bahawa jalan akan terus terbentang dan seperti orang tua tadi,akan tetap melangkah meski sudah lewat malam". Dia melanjutkan kata-katanya dengan tetap menatap ke kegelapan luar.

Di kedai itu, di jalanan Kota London dan 14 Februari akan mengingatkan gua pada sebuah kenangan penuh bermakna bersama seorang gadis cun yang banyak mengubah fikiran-fikiran gua.Fikiran mengenai hidup ini dan kemanusiaan.Dia mengajak gua untuk menghidupkan kembali harapan.Harapan yang tak semestinya disaluti ceria cahaya matahari mahu pun sorak keriangan.Harapan tentang hidup dan dunia yang lebih baik.Dan kini walaupun dah kembali ke Malaysia,gua masih menjadi seorang flaneur di Kota Lumpur ni.

Nota : Ok lah,ada elemen fiksyen dalam cerita ni.Sebenarnya pasal kereta kuda dan Zaman Renaissance tu imaginasi gua je.Sebab gua akan teringat pengalaman ni bila dengar lagu "Streets of London" oleh Blackmore's Night, sebuah band yang diinspirasi oleh era Renaissance.Lagu ini pertama kali gua dengar dalam perjalanan ke kota London hari tu.

Rabu, 10 Februari 2010

Tertunduk

Di kala ini sekali lagi aku tertumpas.Tertunduk.

Ketidakpedulian terhadap ruang dan masa,mempersetankan yang disekelilingku akhirnya hanya membuatku mampu menutup mata.

Memekakkan telinga.Mahu lari tapi tidak lama aku pun tersungkur.Tertunduk lagi.

Esok entah apa tapi hari ini pasti berakhir dalam sepi.Kegagalan ini terlalu menyeksa untuk ku lalui.

Kehampaan yang datang menekan seluruh susuk ku.Kedukaan yang menjulingkan jarak pandangku dan kepiluan yang membutakan hatiku untuk melihat lebih dalam melepasi kabut.

Aku tetap tertunduk saja.Ketika bayangan apa yang ku gagal capai masih menari dalam ruang sedarku.Terus menjadikan ku terasa semakin hina tanpa penghujung.Kesedaranku membentangkan segala macam ketidakmampuan,segala apa yang ku mahu tapi gagal ku raih.

Kembali ingatanku pada masa yang berlalu.Ketika hanya ada dua pilihan terbatas.Cuma ya ataupun tidak.

Aku masih tertunduk dalam diam.Aku masih punyai pilihan itu.Hari ini memang bukan hari ku.Tapi hari esok mendatang.Esok aku tak mahu seperti hari ini menunggu esok lagi.Esok aku tak mahu menunggu yang esok berikutnya lagi

Aku harus bangun.Tak mengapa andai kata gagal lagi.Tapi aku tak mahu menunggu esok lagi.Aku tak mahu tertunduk lagi.

Selasa, 9 Februari 2010

Kita Cuma Berkongsi





Jam menunjukkan hampir 11pm saat gua tiba di pintu depan rumah malam tadi.Seperti biasa gua baru pulang dari makan malam.Dan seperti biasa, dia ada.Dia menunggu dengan setia.Si gebu lagi comel itu sedang menanti di berhampiran pintu.Sudah lebih 2 minggu begini.Tidak pernah walau sehari pun dia tidak ada.Seperti Toto yang sanggup berdiri setiap malam di luar tingkap bilik Elena dalam filem Cinema Paradiso.

Tapi tidak seperti Toto yang menuggu berminggu dan berbulan sebelum diterima, si comel lote ini telah gua alu-alukan sejak pandangan pertama.Mana tak cair memandang mata bulat yang seolah-olah menagih simpati.

Gua akan melayan dan memberi makan kepada si kucing ini setiap malam.Sebenarnya gua risau dengan kucing ni.Kerana beberapa bulan lepas,di tengah-tengah musim tengkujuh melanda,ada seekor anak kucing yang belum pun 'remaja' pernah mati di depan pintu rumah.Malam sebelumnya gua nampak ia tertidur,keesokannya dia telah mati - gua percaya kerana kesejukan.Malang sekali.Sepatutnya gua selimutinya dengan kain malam itu.Gua menguburinya di tepi padang bola dengan rasa bersalah menyelubungi diri.

Ini sering berlaku pada gua.Kedatangan kucing-kucing yang mahu mendampingi gua.Walaupun gua tidak boleh membawa masuk ke dalam rumah mahupun memelihara mereka kerana si tuan rumah sewa gua tidak membenarkan.Padahal sudah tentu kucing boleh mencari tempat berteduh atau sesiapa saja yang boleh memberi makan dan memeliharanya tapi tetap mahu mendekati gua.Ini menandakan mereka menyenangi diri gua.Gua gembira dengan petanda ini.

Pernah 2 kali sejak si dia mula bertandang,gua tidak balik rumah kerana bermalam di tempat lain.Gua telah sediakan awal-awal makanan kucing.Kedua-dua kalinya tak tersentuh langsung makanan itu.Barangkali dia tahu gua tak balik atau dia mahu gua tahu dia datang kepada gua bukan sebab menagih makanan.

Pernah gua dengar labon dari seorang kawan gua yang suka memelihara kucing dalam jumlah yang banyak,paling sikiit pun 4 ekor dalam satu masa.Katanya ada perbezaan di antara kucing yang dilayan dengan baik dan kucing yang dicaci dan dimarah-marah.Kucing yang dilayan dengan teruk tetap kelihatan kurus padahal sama saja jumlah makanan yang diberi.

Kisah-kisah kebolehan komunikasi antara manusia,binatang dan alam banyak kita dengar.Mungkin sudah atau bakal kita alami sendiri.Mungkin penelitian ilmiah masih tidak memberi jawapan yang kukuh.Biarpun kucing atau binatang tidak mampu berkata-kata,gua percaya mereka mampu memproses maklumat,tanda dan isyarat.Naluri mereka sangat tajam.Ada yang memanggil kebolehan ini sebagai Extrasensory perception (ESP) atau apa sajalah teori yang ada tentang hal ini.Mungkin tiada bukti yang tidak boleh disangkal,namun gua yakin dengan kebolehan binatang ini.

Orang Kristian yang bermazhab Katolik sudah tentu mengenali St Francis of Assisi yang dikatakan seorang yang amat sayang kepada binatang dan alam.Kepada pohon-pohon dan haiwan-haiwan pun dia menganggap sebagai saudara.Ertinya segala yang wujud di bumi dinaikkan darjat agar sama dengan kita manusia.Meskipun dari segi akal dan kebolehan,manusia jauh lebih tinggi dan rumit dan yang lain-lain tetapi binatang dan hidupan alam lain juga mempunyai hak ke atas bumi ini.

Kerana itu,manusia yang memperlakukan alam ini dengan begitu keji dan tidak bertanggungjawab dengan semena-menanya mengeksploitasi, maka alam akan membalas balik.Alam akan menuntut agar keseimbangannya tidak diganggu.Banjir kilat di ibu kota,hakisan tanah di pesisi pantai Pulau Pinang,perubahan iklim dunia dan sebagainya - ini semua akibat perbuatan kita sendiri. Gua mentongsampahkan alasan seperti "semua ini dugaan Tuhan".Gua tak akan menuduh semua itu sebagai kerja Yang Maha Esa.Ingat kerja Dia cuma nak menyeksa je ke?Kita wajib melihat dan menilai sendiri perbuatan kita.

Harimau menyerang orang-orang kampung,orang utan merosakkan tanaman kelapa sawit,anjing liar membahayakan penduduk setempat - semua ini sudah biasa kita dengar.Penyelesaiannya - ditangkap atau ditembak mati binatang-binatang ini.Tidak pernah difikirkan apa yang menyebabkan binatang-binatang ini berbuat sedemikian.Tidak langsung kita manusia menyalahkan diri sendiri dan memperbaiki keadaan yang sebenarnya merupakan manifestasi dari sikap dan perlakuan kita terhadap binatang dan alam.

Sejak dulu lagi sering terbaca laporan orang-orang Islam di negara ini membelasah sehingga mati anjing-anjing yang tak bersalah.Pernah gua diberitahu bahawa kayu pengukur untuk mengukur sesebuah tamadun negara bangsa adalah dengan melihat bagaimana anak-anak kecil,wanita,orang tua,orang kurang upaya dan binatang dilayan.Dalam negara yang mengganasi binatang seperti anjing sudah tentu tidak akan teragak-agak menzalimi warganya.

Gua terbaca akhir-akhir ini ada beberapa pihak yang menjadi 'penjaga moral' mahu mempertingkatkan operasi 'mencegah maksiat' pada Hari Kekasih 14 Febuari ini.Mengapa langkah-langkah drastik sebegini tidak pernah diambil untuk menangkap mereka yang menzalimi bintang? Jika ditubuhkan skuad untuk mencegah kezaliman terhadap binatang,gua dengan sukarelanya sanggup turut serta.

Perbuatan menyamakan manusia dengan binatang dengan niat mahu memperlekehkan manusia - seperti demonstrasi kepala lembu dan meletakkan kepala babi di dalam masjid - sebenarnya adalah penghinaan kepada binatang.Binatang tidak pernah mengkianati alam atau menyusahkan diri sendiri.Tidak seperti kita manusia.Katak pasti terasa terhina sering disabitkan dengan manusia seperti Ibrahim Ali jika tahu tentang hal ini.

Manusia di zaman dahulu terutamanya tamadun-tamadun di Asia menyedari hakikat manusia cuma berkongsi dunia ini.Lihat saja lukisan-lukisan purba budaya China,India atau Jepun.Hampir tiada lukisan yang cuma potret manusia saja.Semuanya lukisan pemandangan alam,binatang dan manusia bersama-sama alam.Tandanya mereka sedar manusia cuma setitik dari keseluruhan alam dan semuanya saling bergantung dan melengkapi.Malah tamadun purba Mesir begitu mengagumi dan menghormati kucing.Jika budaya menghormati alam ini yang dimaksudkan oleh daulah kita sebagai "budaya Timur yang murni",gua akan setuju.Akan tetapi negara kita lah antara yang paling teruk menzalimi binatang dan alam kita.

Sejak kebangkitan Eropah di Zaman Renaissance membawa perubahan kepada pemikiran manusia terhadap alam ini.Potret-potret dan lukisan-lukisan yang kebanyakan besarnya memperlihatkan dan berkisarkan manusia muncul.Manusia telah mula menampakkan dirinya berjarak dengan segala yang lain di bumi ini.Manusia mula menganggap dunia ini harus menjadi hak eksklusifnya dan bukan untuk dikongsi bersama makhluk lain.Manusia mahu menguasai dan bukan berkawan dengan hidupan lain.Maka alam pun mulalah rosak sehingga kini.

Kerana itu, frasa "kembali kepada alam" (back to nature) bukan sekadar kita menanam pokok di tengah bandar.Atau memboikot plastik setiap hari Sabtu.Pemahaman bahawa kita manusia cuma sebahagian dari dunia ini wajib dimunculkan kembali dalam kesedaran kita.Kita tidak memiliki hak eksklusif ke atas bumi ini.Kita cuma berkongsi.

Sementara itu,gua sudah pasang niat.Akan gua bawa bersama si kucing itu bersama bila berpindah rumah bulan depan.Barangkali si dia sedar tentang ini,sebab itu dia sanggup menunggu.Oh ya,dan juga kucing yang sering meleser kat sekitar mamak tu.

Ahad, 7 Februari 2010

Kekebalan dan Kerapuhan a.k.a Apa Dah Jadi Dengan M Night Shyamalan?






Saat membaca kembali catatan diari-diari lama gua dari tahun 1999 dan 2000 membuatkan gua tersenyum dan ketawa.Banyak pandangan yang telah berubah.Yang melucukan gua pernah dengan naive nya merasakan yang pemikiran dan idea tidak akan bertukar.Pengalaman dan peningkatan usia telah banyak merobek tanggapan-tanggapan terdahulu dan membentuk pemikiran yang seadanya sekarang.Ada fikiran yang telah gua tong sampahkan terus dan ada yang telah digilap dan diperkukuhkan.

Ada yang masih belum gua putuskan sama ada boleh disimpan atau dipersetankan.Salah satu daripada ini adalah pandangan gua mengenai pengarah filem bernama M Night Shyamalan.

Gua telah dengar banyak cakap-cakap yang tidak sahih bahawa terdapat sekurang-kurangnya 2 orang individu yang bernama M Night Shyamalan. Yang pertama ialah seorang auteur bertaraf intelektual dan mencabar pemikiran.Dia seorang Hitchcock zaman moden yang telah menghasilkan karya-karya hebat seperti The Sixth Sense, Unbreakable dan Signs. Berikutan filem Signs menemui pawagam, dipercayai ramai bahawa makhluk-makhluk asing berasa tergugat dengan manusia seperti Shyamalan dan telah menculiknya.Mereka telah melakukan eksperimen dan pembedahan otak,neuro dan genetik ke atas susuk ini.Ini mengakibatkan si Mamat itu bertukar menjadi Shyamalan yang ke-2.

Shyamalan yang kedua ini cuma mampu membuat filem yang setinggi-tinggi taraf pun cuma memberi kepuasan yang sedikit sangat seperti The Village dan fantasi gred C yang mengecewakan iaitu The Lady In The Water.Jelmaan kedua mamat ini gemar bertekak dan bertikam lidah dengan bos-bos studio Hollywood yang enggan membenarkannya meletakkan dirinya sendiri sebagai watak penting dalam filem.Dan kedengaran juga perangainya semakin mengada-ngada seperti primadonna.Selama ini dia sering muncul dalam filem-filemnya sendiri tapi cuma sebagai watak sampingan.

Apakah si Shyamalan ini seorang mengalami "split personality"?Jikalau begitu, dah tentu ini akan membuatkan dia lebih kreatif dan menghasilkan filem-filem lebih cemerlang tapi tak pun.Cuba bayangkan orang-orang seperti John Nash(ahli matematik dan ekonomi),Syd Barrett(ahli awal kugiran Pink Floyd),Brian Wilson (kugiran Beach Boys) dan William Chester Minor(penyumbang besar kepada kamus Inggeris Oxford) tidak mengalami schizophrenia? Dah tentu mereka tidak akan jadi hebat tanpa adanya masalah schizo itu.Jadi adalah seperti satu penghinaan kepada pengidap schizo untuk dikatakan kemungkinan si Shyamalan turut mengalaminya seperti mereka kerana dia telah makin mengarut,bukan makin bagus. Ada juga bisikan-bisikan yang menyatakan ura-ura "dua orang Shyamalan" itu diolah sendiri oleh Shyamalan dan para perunding imej dan pegawai perhubungan awamnya.Ini dilakukan untuk menghasilkan satu aura mistik mengenai dirinya.

Ok lah, sebenarnya gua mengarut je dengan teori "dua Shyamalan" tu.

Secara seriusnya,dah tentu gua akan memilih Shyamalan yang "pertama" jika dibandingkan dengan Shyamalan yang "kedua".Ini tak payah tanya pun tahu ape jawapan.Gua tahu kebanyakan orang akan berkata filem terbaiknya adalah The Sixth Sense.Bagi gua,dia mencapai kemuncak sebagai seorang penulis dan pengarah dengan filem Unbreakable. Cerita ini secara ringkasnya, melibatkan seorang lelaki kurang upaya yang sangat menggemari buku-buku komik yang cuba meyakinkan seorang pegawai keselamatan yang menghadapi masalah rumah tangga bahawa dia sebenarnya seorang superhero.

Filem Unbreakable ini mengandungi beberapa perkara yang amat menarik yang menjadikannya sebuah filem melintas genre yang walaupun agak absurd tapi meyakinkan.Pertama,aspek mitologi skripnya.Shyamalan mengajukan satu hujah yang kukuh berkenaan komik sebagai sebuah rantai kebal yang memberikan maklumat sejarah,falsafah,kemanusiaan dan umumnya persoalan tentang hidup ini.Gua bukan seorang peminat komik yang tegar tapi mereka yang yang sangat menggemari komik pasti bersetuju dengan apa yang gua katakan di sini.

Watak Elijah (Samuel L Jackson) mengalami satu penyakit pelik sejak dilahirkan lagi yang membuatkan tulang-tulangnya sangat 'fragile' seperti kaca.(Woit,ini bukan nak perli Owen Hargreaves,Louis Saha atau Michael Owen.) Tapi Elijah ni percaya sudah tentu ada seorang betul-betul bertentangan dengan apa yang dia alami,seorang yang "kebal" (unbreakable).Kisah ini merupakan suatu sentuhan yang genius pada tahap lakonlayar yang mengangkatnya melepasi jangkauan mitos dan teori konspirasi,walaupun ia sebuah fiksyen.

Aspek kedua, penggunaan manipulasi cahaya dan ruang yang oleh Shyamalan yang mengasyikkan.Babak pertama filem melihatkan lahirnya Elijah di dalam sebuah keretapi.Keadaan keretapi bergerak yang sesak dan traumatik dengan ditonjolkan oleh sebuah cermin besar,amat sesuai dengan saat doktor memberitahu bayi tersebuat dilahirkan dengan tulang tangan dan kakinya patah.Juga,ketika hampir di penghujung filem,sebuah babak di mana David (Bruce Willis) yang takut kepada air,hampir lemas.Artistik visual yang dipamerkan ketika ni amat mengkagumkan.

Filem-filem Sixth Sense, Signs dan Unbreakable memperlihatkan kebolehan Shyamalan menggunakan sepenuhnya ruang 4 dinding dalam menampakkan emosi paranoia terutamanya.Tidak hairanlah ketika itu dia mendapat nama jolokan "the new Hitchcock". Tambah pula dengan "twist" atau perubahan mengejut sering timbul di kemuncak kebanyakan filem-filemnya,mana tak "Hitchcockesque".

Gua mengaku tidak berapa menggemari filem The Usual Suspects arahan Brian Singer walaupun diakui mengandungi "twist" dalam plot yang dikatakan antara terulung dalam sejarah filem.Sebabnya gua rasa ia tidak kena atau tidak sejiwa dengan perjalanan plot sebelumnya,maka ia seolah-olah bukan bahagian penting kepada ethos ceritanya.Ini tidak bermakna gua tak anggap The Usual Suspects sebagai filem yang bagus,memang ia antara filem yang terbaik,akan tetapi cuma 5 minit yang saja tidak cukup untuk menganggungkan sebuah filem yang berlangsung hampir 2 jam.

Tentang ini lah di mana "Unbreakable" amat berkesan bagi gua."Twist" nya kena dengan perjalanan keseluruhan filem.Ia berpadanan.Berbeza tapi saling melengkapi.Seperti balak dan awek.Seperti orang Perancis dan orang-orang Eropah Mediterranean mahu air anggur yang diminum padan dengan hidangan makanan yang ditelan agar rasa di lidah memuaskan (after taste) selepas selesai makan dan minum.

Akhirnya,kehebatan Shyamalan tidak kekal lama.Tak "unbreakable" mamat ni.Kini "Shyamalan ke-2" yang mengambil-alih.Hasilnya dialog yang mudah dilupakan,plot-plot yang membosankan jika dibandingkan dengan standard sebelum ni dan dia sekarang sering mendapat pencalonan "anugerah" Razzie dan telah menggondol dua "kemenangan" Razzie ini,untuk Worst Director dan Worst Supporting Actor untuk lakonan Shyamalan sendiri dalam The Lady In The Water.

Hasil dari menonton filem-filem Sixth Sense dan Unbreakable lah telah menarik minat gua terhadap filem-filem Alfred Hitchcock kerana ketika itu gua terbaca Shyamalan ni mengidolakan Hitchcock dan dipengaruhi oleh teknik-teknik dan gaya Hitchcock,yang ketaranya "twist" pada plot dan gemar muncul sebagai watak sampingan (cameo role) dalam filem sendiri.Tanpa meminati filem Shyamalan,kemungkinan gua tak akan ada minat mendalam kepada filem dan men-discover pengarah-pengarah filem hebat lain.

Barangkali apa yang berlaku dengan Shyamalan di kala ini sebenarnya sebuah "twist" dalam plot hidupnya dalam perfileman.Jika begitu,ingin gua nyatakan "twist" ini tak berkesan langsung.Walau betapa mengecewakan pun filem-filemnya sekarang,termasuk yang paling baru keluar tahun 2008,The Happening, gua masih menunggu dia kembali.Jika Nicholas Anelka yang dulunya sering bertelingkah dengan kelab-kelab lamanya dan berperangai "primadonna" kini boleh berdamai di Chelsea malah menemui kembali rentak lamanya di padang bola,kemungkinan kita boleh mendapat kembali Shyamalan yang kita kenal dulu.

Maka gua tidak akan sewenang-wenangnya terus mentongsampahkan fikiran dan tanggapan lama yang telah gua simpan mengenai si Syhamalan ni.Jika gua cakap gua tidak lagi minat langsung dengan Shyamalan,nanti muncul pulak sesiapa yang kenal gua dari zaman remaja dan menjerit "You lie!" seperti diteriak oleh ahli kongress Amerika Joe Wilson kepada Barack Obama.Gua tak mahu menjadi seperti Ibrahim Ali yang pernah bersumpah dia akan mencium bontot Mahathir Mohamad jika dia berbaik semula dengan Mahathir.(Tak tahu lah sama ada dia dah cium ke belum,tapi tu cerita lain lah.)

Bukan semua idea dan pandangan yang kita pegang adalah "unbreakable" atau kebal.Makin banyak kita berjalan dalam penerokaan hidup,banyak yang akan kita temui lagi .Tidak bermakna kita harus buangkan yang telah kita kumpul sebelumnya.Ini bergantunglah,kalau kita terbukti salah,salah lah.Tapi gua percaya dengan meningkatnya usia dan makin dewasa,kita dah wajib mengenalpasti prinsip-prinsip yang akan kita bawa hingga ke liang lahad.Jika tidak,kita cuma manusia yang akan disamakan dengan satu spesis amfibia yang melompat-lompat tak tentu arah dan kita sering dengar dan baca kini sudah makin banyak telah menetas dan menjadi berudu.Mereka ini bakal menjadi katak tak lama lagi.

Sekarang ini,gua cuma boleh tunggu dan lihat.Seteruk-teruknya filem Shyamalan sekarang,sekurang-kurangnya dia tak pernah menggunakan dialog yang bodoh lagi bangang lagi tak masuk akal seperti " Can I fuck you today?" dalam filemnya. Katakan kalau ada nanti,maka gua akan bersumpah di masjid bahawa gua tak pernah minat M Night Shyamalan.

Kejap.Macam lain macam je bunyi perenggan-perenggan di penghujung tulisan ni? Er..anggaplah sebagai "twist" dalam plot cerita.

Sabtu, 6 Februari 2010

(Tak Tahu Nak Letak Tajuk Apa)




(Tak tahu nak letak gambar apa)


Woit! Gua belum pernah nampak lu sebelum ni.Lu orang baru? Kalau macam tu,jom ikut gua..Gua tunjukkan keadaan sekitar sambil borak-borak.

Suatu ketika dulu pepohon terasa indah dan menyejukkan.Sinaran sang suria bebas menurunkan anugerah kepada seluruh makhluk yang hidup di sini.Udara bersih memenuhi ruang atmosfera.Tiada persoalan yang benar atau salah.Keharmonian terasa sangat unggul dan nyata.Suara tangisan dan bunyi gelak ketawa saling berpimpinan tangan biarpun hakikat keduanya sangat berlawanan.

Mari ikut gua.Kita berteduh di bawah pohon yang menyimpan memori lebih separuh dari seluruh dari penganut agama samawi.Suci. Tapi nanti dulu.Suci bukanlah kata yang tepat untuk mentafsirkan makna literal atau macam dorang suka rujuk sebagai makna harfiah. Sebenarnya dia menyimpan memori perjuangan mereka tatkala mereka dengan darah,keringat dan air mata cuba mempertahankan idealisme buta tentang Tuhan.Dan pohon ni menjadi saksi bisu kegagalan mereka tu.

Ironi betul mereka ni.Pegangan mereka tu tak membantu pun mereka faham tujuan wujudiah mereka di dunia.Tuhan pun tak nak tolong mereka padahal mereka ingat mereka buat kerja untuk Tuhan.Mereka kata Tuhan suruh berbuat baik tapi mereka...hahaha..

Rilek lah.Gua bukan suruh lu ikut apa gua cakap.Bukan macam mereka tu,paksa-paksa. Apa lu cakap? Gua sarkastik?Sekurang-kurangnya bukan plastik.Maaf,gua bukan nak menyakiti hati lu.Tapi itulah hakikatnya.Diri gua pun bukan sempurna.Kita masih berevolusi.Akan beransur-ansur menjadi lebih baik dari sebelumnya.Evolusi memberi kita jam pasir yang tidak akan henti menghitung masa sama ada kita sedar dan bersiap atau tidak.

Tiap orang ada logik masing-masing.Tapi kadang-kadang terasa pelik dan absurd.Bayangkan demi sebuah kehendak bernama material yang kononnya dapat memuaskan semua tapi ternyata tak pernah dan tak akan - kita mencelakakan diri sendiri dan orang lain.Macam ni buat apa nak hidup?

Tangan-tangan ghaib yang bukan saja sudah meraba malah mencengkam bumi ini.Sinaran matahari sudah mereka gantikan dengan unggun-unggun buatan mereka.Tak bosan ke hidup dalam kegelapan?

Bukan ke pencerahan dan keharmonian tu tujuan asal dan sebenar kita? Utopia kita bersama? Maka lepaskanlah otak dari kekangan dan biar imaginasi tu mengalir.Tiada batasan untuk benda bukan material untuk bergerak.Rasakan dirimu selesa dipenuhi fikiran yang membebaskan.

Jadi,dah bersedia?Kalau sudah,bersiaplah untuk kita bergerak.Jom langkahkan kaki ke hadapan.Kita akan ke taman untuk berbaring terlentang di atas rumput.Langit telah mereka gelapkan tetapi kita masih boleh nikmati bintang-bintang yang masih belum digapai oleh tangan-tangan ghaib mereka.

Akan kita ajak lebih ramai lagi untuk turut bersama.Satu hari nanti akan kita padamkan unggun-unggun buatan semua dan mengembalikan cahaya asal.

Jumaat, 5 Februari 2010

'Mitos Gua' Dan Perubahan







Setiap pagi apabila bangun,gua akan buat perkara yang sama setiap hari.Hisap sebatang rokok kemudian gosok gigi dan mandi.Keluar dari rumah singgah minum kopi di mamak yang sama.Kemudian gua naik bas yang sama ke tempat kerja.Guna jalan yang sama.Nampak bangunan-bangunan yang sama,pokok-pokok yang sama,berhenti di lampu isyarat yang sama,terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang sama.

Sampai pun pada waktu yang sama,mungkin berbeza tambah atau tolak beberapa minit saja.Ni belum masuk labon benda-benda sama yang gua buat di tempat kerja,masa makan tengahari,masa balik kerja,masa hujung minggu,dan dan dan...Kalau nak dicatatkan kesemua rutin tabiat,penuh satu entri nanti.

Seolah-olah kita boleh mati kalau kita tak ikut aturan harian kita.Gua boleh je pecahkan rutin gua.Tak naik bas tapi naik LRT.Alamak,nanti leceh kena jalan lebih jauh dari naik bas.Gua boleh jalan kaki ke tempat kerja sebab gua memang kuat berjalan.Alamak,nanti kena bangun lebih awal pulak.Itulah dia,kita berasa selesa membuat perkara-perkara yang hampir sama,hampir tiap-tiap hari.Lalu rasa menyusahkan jika ada perubahan. Manusia di zaman pasca-moden,kita seolah-olah penganut setia rutin tabiat ini.

Manusia pada umumnya memang takut kepada perubahan.(Woit,jangan salah faham,tulisan ni tak ada kaitan dengan Obama dan "change" nya). Kerana perubahan selalunya disusuli dengan bahaya risiko.Lebih-lebih lagi bila kita "ignorant",lagilah kita berasa takut.Ahli falsafah,Plato dalam Mitos Gua (Allegory of The Cave) mengisahkan betapa sempitnya pandangan manusia dan ketakutan kita kepada perubahan.

Dalam kisah Mitos Gua,sekumpulan manusia tawanan hidup dalam sebuah gua yang gelap dan tangan serta kaki mereka terikat.Namun mereka tidak menyedari bahawa tangan dan kaki mereka diikat.Mereka ini menganggap bayang-bayang mereka sendiri sebagai benda realiti dan bunyi-bunyi gema dalam gua sebagai bunyi betul.Tidak terfikir mereka yang semua itu hanya pantulan kepada realiti.

Ini merupakan satu metafora kepada sikap manusia yang hanya sedar kepada benda yang dapat mereka lihat dengan mata saja.Oleh kerana mereka hidup di dalam gua selama ni,mereka tidak terbayang dunia di luar gua itu.

Kemudian salah seorang dari mereka ini mula sedar bahawa selama ini hidup dan cara pandang mereka sangat terbatas lalu berusaha melepaskan diri dari ikatan.Saat dia berjaya lepas,dia sangat takjub melihat segala benda dan alam yang indah di luar guanya.Bermacam-macam warna yang belum pernah dilihat matanya,bau wangi bunga dan pokok yang segar ditambah dengan bunyi binatang dan aliran sungai.

Lantas dia pun kembali dan berteriak memanggil rakan-rakan lain di dalam gua,mengajak mereka untuk menyaksikan bagaimana rupa dunia di luar.Dia ingin menyedarkan mereka semua bahawa selama ini mereka semua hidup di dalam dunia dan pemikiran yang sempit.

Akan tetapi,mereka tidak mahu menyedari dan takut terhadap perubahan serta berfikiran sempit terbatas,mereka menganggap dia gila.Mereka marah dan membunuhnya.(Sebenarnya mentor kepada Plato,iaitu Socrates diperlakukan macam tu.Dia mati akibat dipaksa minum racun)

Walaupun ini cuma satu cerita rekaan oleh Plato namun sepanjang sejarah manusia,kita boleh nampak yang perkara seperti ini sering kali berlaku.Kita manusia masih mempunyai pemikiran yang sama seperti yang mahu diterangkan oleh Plato.Kita sentiasa mahu berada dalam ruang selesa (comfort zone) kita dan menolak perubahan dan hanya mahu percaya apa yang kita mahu percaya.

Teori 'Chaos and Order' mengatakan perubahan dibawa oleh chaos..Segala macam jenis tetapan,peraturan dan sistem dalam hidup ini membuatkan manusia semakin lama semakin ditumpulkan dan dimandulkan semangat melawan dan mahukan perubahan.Manusia telah dilatih dan diprogamkan untuk menjadi submisif atau mengalah serta tidak mempersoalkan langsung peraturan ciptaan manusia sendiri dan menolak apa saja yang menganggu gugat ketetapan

Satu contoh yang ketara sangat adalah kita sering menggunakan ayat seperti "tak logik langsung" bila kita terus menolak pendapat lain tanpa benar-benar memikirkannya dulu.Kita membuat semua keputusan dan perkiraan dari pandangan kita sendiri saja.Seolah-olah kita seorang mampu memahami segalanya.Akhirnya kita menjadi sangat naif dan sempit kerana fikiran tidak terbuka menerima idea-idea baru dan pencerahan.

Seperti yang dinyatakan tadi,chaos memang diperlukan untuk membawa perubahan - sekalipun dalam bentuk yang 'frontal'.Walau betapa klise nya pepatah "bersusah-susah dahulu,bersenang-senang kemudian",ia memang benar.Manusia masa kini memang dah terlalu 'manja' dan mengada-ngada.Kita bersembunyi dalam zon selesa kita dan berdegil enggan berganjak dan melawan untuk perubahan.Tapi tahu pula nak merungut dan mengadu bila kesusahan melanda diri sendiri seperti bila subsidi gula dan minyak petrol dihapuskan.

Ramai yang terperap dalam dunia dan pandangan yang terbantut.Dan yang paling buruk antara kita adalah yang datang dari kalangan yang mempersendakan dan memperlekehkan mereka yang berani mengambil langkah bangun melawan.Manusia bodoh sombong ini sama seperti manusia-manusia dalam Mitos Gua yang membunuh rakan mereka.

Seandainya kita tidak biarkan fikiran kita tersepit dan berani,kita boleh melakukan perubahan.Menyahut seruan dan berganding dengan mereka yang sejak awal memang memilih jalan untuk memulakan perubahan.Jangan jadi seperti manusia bodoh sombong dalam kisah Mitos Gua.

Jikalau gua berhak untuk menulis sambungan Mitos Gua Plato, gua pasti akan menulis pada akhirnya para manusia yang bodoh sombong itu diburu dan dihapuskan oleh manusia atau makhluk lain di luar gua itu akibat keengganan mereka untuk berfikir dan menerima perubahan.Padan muka.

Tapi bila difikirkan kembali, seperti yang disampaikan oleh filem Fight Club,manusia sejak dari primitif sebenarnya adalah pengembara,pemburu,pejuang,pemikir.Mempunyai semangat berjuang dan melawan.Cuma naluri asal ini telah tertimbus dalam sistem hidup sekarang.Naluri ini yang perlu diasah kembali.

Rasa seperti gua asyik ulang dan ulang semula topik entri yang lebih kurang sama? Er..pasal ini rasanya tidak perlukan perubahan kot.haha.

Khamis, 4 Februari 2010

Kuasa Tulisan

Bila gua melawat dari satu blog ke satu blog yang lain terutamanya blog-blog yang menjadi hidangan harian gua dan mereka juga sering berkunjung ke blog gua,gua nampak satu corak - tulisan kita semua saling mempengaruhi antara satu sama lain.Seperti pemilik Kolam Udang Batu Lapan menulis entri ini selepas membaca tulisan Teh Tarik Gelas Besar yang ini dan tulisan ini oleh Dari Jalan Kopi menggerakkan hati Reverie Malaya menghasilkan yang ini pula.

Kita sering terdengar ayat seperti "pengalaman adalah guru yang terbaik".Gua tak menolak atau menyangkal dakwaan ni.Tapi hidup ini terlalu singkat,tidak mungkin kita mampu mengumpul semua ilmu melalui pengalaman sendiri saja. Kisah dan cerita melalui musik,filem,seni dan tulisan-tulisan mampu memberikan ilmu-ilmu yang tak kita mampu capai dengan bergantung kepada pengalaman sendiri semata-mata.Di sini ingin gua fokus kepada tulisan.

Tulisan mampu memadatkan idea dan pengumpulan pengalaman ke dalam sebuah takungan yang kelihatan seperti tiada batas seperti saku Doraemon.Tulisan boleh menggambarkan dan menerangkan apa saja,meringkaskan detail yang panjang-lebar serta mencantas mana-mana detail yang tidak perlu.Tulisan boleh digilap agar kesemua dahan-dahannya menunjukkan suatu hubungan yang komprehensif antara satu dengan yang lain dan amnya menunjukkan dan mengcungkil tanda dan makna dari pergelutan arbitrary wujudiah manusia ini.Yang indahnya,ia boleh dilakukan dari beribu mungkin berjuta jenis perspektif berbeza dalam jumlah konteks yang tak terkira.Lantas membawa kita mengembara menemui orang,tempat,dan situasi yang jauh berbeza serta radikal dari yang kita alami sendiri tapi mampu membuat kita 'relate' dan memahami walau betapa abstrak pun.

Jadi, yang paling hebatnya kuasa tulisan  yang meletakkannya lebih unggul dari medium perkongsian maklumat lain adalah ciri holistiknya.Hampir tiada batasan langsung.

Manusia wajib memperoleh ilmu pelajaran.Atau lebih tepat lagi,pelbagai ilmu - yang paling penting ilmu interaksi atau pergaulan sesama manusia agar mendekatkan diri kita dengan apa yang dipanggil hidup kemanusiaan yang lengkap.Dan tulisan,sama ada dalam bentuk buku novel,cerpen,biografi,esei artikel,blog dan sebagainya,tidak pernah dan tak akan hilang punca dengan hakikat kehidupan tersebut.

Sebabnya, segala tulisan adalah moral pada dasarnya walau betapa 'immoral' ataupun 'amoral' nya mesej yang disampaikan.Walaupun novel Lolita oleh Vladimir Nobokov  sadistik tidak seperti Swiss Family Robinson yang 'bersih' ,tetapi ia adalah tetap memberikan pengetahuan dan pengajaran serta mengajak kita berfikir.Kita tidak disuruh menjadi atau meniru corak perangai (behavioural pattern) watak-watak kedua-dua novel itu tetapi kita pasti berminat dengan cara mereka berinteraksi,akibat tindak-tanduk mereka dan mengetahui sikap,harapan,ketakutan,cinta,kasih sayang yang mereka alami.

Apa yang gua nak sampaikan adalah apa saja 'wisdom' yang kita dapat daripada membaca adalah bagai suatu proses yang tidak terganggu,tak terhenti walaupun tanpa kita sedar akannya.Pengumpulan ilmu ini berlaku perlahan-lahan,lapisan demi lapisan seperti pengumpulan mendapan lumpur di pesisiran Gurney Drive,Pulau Pinang yang tidak disedari tapi kini penuh dengan lumpur.Lebih baik lagi,pengalaman membaca tulisan ini membawa kita keluar dari menjadi diri kita sendiri,jauh dari batas dan kehendak ego kita sendiri buat seketika. Mental shift yang berlaku ini seperti satu nilai kemanusiaan ,yakni berkongsi - menerima dan memberi.Kita menerima tulisan untuk dibaca dan kita bila membacanya,kita memberi tumpuan kita.

Tidak semestinya kita harus menerima saja apa saja yang kita baca.Kanak-kanak mempunyai keterbukaan kepada penerimaan naratif.Kerana pengumpulan ilmu masih sedikit sangat dan mereka masih murni (innocent) ditambah lagi dengan perasaan ingin tahu yang membara.Tapi dengan meningkatnya usia dan pengetahuan yang telah diserap,pegangan-pegangan dan konsep-konsep tertentu telah diwujudkan dalam diri kita seperti glasier di Isle of Lewis,Scotland yang mengambil beribu tahun untuk terbentuk.Ini membolehkan akal kita untuk menapis apa yang masuk ke dalam otak.

Amat penting untuk kita mampu menapis apa yang kita peroleh.Bersetuju dengan apa saja tanpa berfikir adalah sangat bahaya.Jikalau semua manusia yang berbangsa Aryan bersetuju dengan isi kandung dalam Mein Kampf yang dikarang oleh Hitler,habislah dunia ni. Disebabkan gua percaya majoriti orang tidak sewenang-wenangnya menerima bulat-bulat apa yang dibaca,gua tidak bersetuju dan menolak cakap-cakap yang menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh sebuah akhbar Katolik akan membuatkan orang Islam "keliru,terpedaya dan memesong akidah".

Mungkin kerana menyedari hakikat pengumpulan ilmu dan pembentukan fikrah yang tidak terbantut akan memudahkan rakyat membezakan dengan mudah yang mana fakta dan mana auta,pemerintah di Malaysia sejak dulu lagi berusaha menyekat proses ini dan membonsaikan fikrah rakyat.Kalau tak percaya,cuba lihat keadaan perpustakaan-perpustakaan kita,hasil-hasil sampah terbitan Dewan Bahana dan Petaka serta betapa mahalnya harga buku di kedai-kedai buku.

Gua bukan berniat hanya mahu menghentam orang saja.Maka gua sarankan supaya hentilah dari menjadi pemalas.Seperti yang gua nyatakan di entri Filem Koboi dan Eksistensialisme, kita masih berhak menentukan arah tuju kita waupun menghadapi banyak halangan.Kita memang bebas walaupun banyak sekatan,terpulang kepada kita untuk menggunakan kebebasan kita.Kita dibonsaikan tapi kita bebas memilih untuk tidak terus dibodohkan - kita wajib baca dan baca.Tidak langsung menjadikan kita Mat atau Minah Skema dan tak cool sekiranya rajin membaca.Mereka yang berminda buku teks dan bonsai fikrah lah yang skema dan tak cool.Apa yang gua tulis sini mungkin kedengaran 'patronising' tapi itulah hakikatnya,gua perlu nyatakan apa yang perlu dinyatakan.

Gua berasa cukup senang hati dan berterima kasih kerana sekiranya gua menghadapi "writer's block" atau kekeringan idea untuk menulis, kemungkinan besar gua akan mendapat ilham dari blog-blog yang gua layari. Alangkah magiknya kuasa tulisan.



Among other things, you'll find that you're not the first person who was ever confused and frightened and even sickened by human behavior. You're by no means alone on that score, you'll be excited and stimulated to know.Many, many men have been just as troubled morally and spiritually as you are right now. Happily, some of them kept records of their troubles.You'll learn from them - if you want to. Just as someday, if you have something to offer, someone will learn something from you.It's a beautiful reciprocal arrangement. And it isn't education.It's history.It's poetry - (The Catcher In The Rye J.D Salinger)

Rabu, 3 Februari 2010

Lipas dan Kafkaesque

Terbangun awal pula pagi ni.Gara-gara ada lipas menjalar di muka gua.Celaka betul,macam mana pulak rumah ni boleh ada lipas.

Dah tak tahu nak buat apa sebab dah terbangun,gua bukak lah laptop.Takde mood nak membaca mahupun mendengar musik atau nak pegang gitar.Menulis lagilah mampus gua tak ada kederat pagi-pagi buta.Lalu gua pun melayarlah laman-laman web seni (bukan layan porno,ok).

Lalu terjumpalah gambar lukisan ni :


Ironi betul.Baru kena "serang" dengan lipas tadi.Terfikir sejenak.Teringat akan novel Metamorphosis oleh Franz Kafka . Gua ketawa kecil dalam hati.Dah lah semalam baru gua menulis pasal eksistensialisme(walaupun sebenarnya Kafka tak diiktiraf sebagai eksistentialis).

Baru saja melewati usia 26 tahun 2 minggu lepas, tak terdaya nak halang peningkatan usia.Transformasi (metamorfosis) dari anak muda ke anak muda tak berapa muda.Lepas tu,rasa semacam 'helpless' nak lakukan apa gua nak lakukan dengan halatuju hidup kat negara ni.Memang agak Kafkaesque mood hidup gua baru-baru ni.

Ini baru pasal perihal peribadi gua.Persekitaran kita bagaimana?

Satu ulang-tayang sandiwara yang 'absurd' dari sedekad lalu baru bermula di negara kita ni.Lagi sekali Kafkaesque.Kenapa? Sebab gua teringat kepada novel The Trial. Orson Welles pun ada buat filem berdasarkan novel Kafka ni.

Tak cukup Kafkaesque lagi? Hmm..ingat tak Najib Razak dan projek GTP (Government Transformation Programme) nya yang dikecohkan minggu lepas? Kan Kafkaesque tu! Sebab ada perkataan "transformation". haha.


P.S: Selamat harijadi ke-59 kepada Hishamuddin Rais.