Sabtu, 30 Januari 2010

"Lampu Hiasan"



Tadi gua berjalan di sebuah kawasan di dalam so-called Segitiga Emas di Kota Lumpur.Dah berjanji jumpa mamat ni yang kononnya suka minum teh tarik gelas besar (tapi dah 3 atau 4 bulan kenal dia,tak pernah pun dia order teh tarik kat mamak).Dia cakap semalam nak pinjam buku dengan gua.Memandangkan J.D Salinger baru meninggal(R.I.P),sesuailah dipinjamkan buku The Catcher In The Rye dan Nine Stories serta sebuah DVD filem neraka oops.. syurga.

Lalu-lintas cukup padat macam biasa.Sampailah gua di sebuah simpang empat berlampu isyarat.Berbekal nasihat oleh daulah yang berbunyi "berhati-hati di jalan raya,ingatlah yang tersayang" , gua pun cuba menjadi seorang pedestrian yang baik lalu gua berhenti sejenak untuk menuggu lampu isyarat berpihak pada gua untuk melintas jalan di atas lintasan kuda belang.

Bukan nak mengada-ngada seperti 'putera lilin' tapi panas terik yang menyengat membuat waktu menuggu untuk melintas terasa seperti tiada pengakhirnya.Mata terus tertumpu pada lampu pelintas jalan seolah-olah menanti isyarat untuk memulakan perlumbaan Moto GP atau Formula One.Di pihak para pengguna kenderaan,lampu kuning sudah menyala dan akan segera disusuli lampu merah.Tibanya giliran gua dan para pejalan kaki lain untuk menggunakan jalan.

Lampu hijau untuk gua dah terbit,segera gua langkahkan kaki.Tapi tiba-tiba terdengar "ciiiiiitttt" bunyi 'drag' tayar dan sedetik kemudian disusuli bunyi hon dari sebuah kereta mewah yang laju menuju ke arah gua.Hanya refleks sekelipan mata yang boleh membuatkan Roger Federer cemburu,gua menarik ke belakang tubuh gua.Kereta itu tak sampai 30cm dari men-'relegate' diri gua dari masih bernyawa kepada hanya tinggal statistik.

Di tengah kebingungan yang bercampur-baur dengan derauan adrenalin,gua masih mampu terdengar suara maki-hamun dari si pemandu yang kepalanya keluar dari tingkap kereta, "Bodoh! Mata tu taruk kat bontot ke ape!".Ketika itu gua masih 'blur' disebabkan kejutan tadi,lalu tidak terkeluar apa-apa balasan dari mulut gua.Gua sempat mencuri pandang ke arah si pemandu tersebut - seorang lelaki lingkungan lewat 20an ke awal 30-an dengan ciri-ciri gaya seorang eksekutif muda duduk di balik stereng kereta 2000cc ke atas (jenama tidak didedahkan kerana tulisan ni bukan iklan atau ditaja oleh sesiapa)

Rentetan peristiwa yang berlaku sekelip mata itu, gua berdiri terpatung di kaki lima jalan.Masih kekagetan.Tanpa disedari gua telah terlepas beberapa giliran untuk melintas.Gua harus menunggu lagi.Setibanya di seberang jalan gua memetuskan untuk berhenti sejenak membeli minuman sambil menikmati rokok yang tidak pernah gagal menenangkan gua.Sambil duduk minum dan merokok,gua membayangkan kembali kejadian tadi.Terasa betapa dekatnya kematian.Setiap detik dan bila-bila masa nyawa kita boleh melayang bukan kerana tindakan kita sendiri dan tanpa kita mampu berbuat apa-apa.

Gua cuba merekonstruk semula babak demi babak yang berlangsung begitu cepat tadi.Memang tak terdaya gua untuk menghalangnya dari berlaku.Macam ni apa ertinya ada lampu isyarat untuk mengatur lalu lintas kalau semua pengguna pun tak ambil pot.Sambil menyalakan lagi sebatang rokok,aku cuba menyusup masuk ke isi kepala mamat tadi tu.Kenapa dia rasa jalan tu macam bapak dia yang punya. (Kalau Najib Razak berbuat macam tu kat Jalan Tun Razak,mungkin boleh diterima logik songsang jika dia claim tu jalan bapak dia)

Dah tentu bukan si mamat tu tak faham, apa pun alasan dia tetap salah.Bukan saja boleh mencelakakan orang lain tapi menyusahkan diri sendiri juga.Tapi dia tetap lakukan juga.Memang sial.Memang bodoh lagi bangang.

"Bro..",tegur seorang mamat berpakaian seragam sebuah kedai kopi menjual gaya hidup,menyedarkan gua dari lamunan. "Ah,ye bro.." sahut gua.Dia menyambung lagi,"Traffic light ngan zebra crossing bukan jaminan..Sekarang ni traffic light sama je dengan lampu hiasan time Raya.Ada ke takde sama je." Gua tersenyum.Tanpa menunggu balasan gua,dia melanjutkan monolognya, "Nowadays,orang makin berpelajaran tapi otak makin tak mampu nak berfikir".Ha! Begitulah rasanya jawapan yang paling sesuai menghuraikan perbuatan mat kereta tadi.Perbualan kami diteruskan dan menjurus ke topik-topik lain yang tidak berkaitan...

Sekembalinya di bilik sewa gua,sambil duduk santai ditemani secangkir kopi panas dan macam biasa kawan terbaik gua,rokok.Lalu sekali lagi aku terfikir peristiwa tadi.Sambil itu teringat gua kepada blog ni.Persetankan je draft-draft tulisan yang bertimbun dan belum dipost dan juga belum siap,gua pun mula menulis tentang ni di kala ingatan masih segar dibenak.

Gua renungkan kembali susuk mat bebal tadi tu.Dari kenderaan dan cara berpakaian,jelas menggambarkan status sosialnya.Setidaknya dia mewakili kaum kelas pertengahan ibukota yang bergaya hidup pasca-moden.Sekurang-kurangnya berijazah sarjana muda.Bekerja di institusi kewangan.Dua kali seminggu ke 'fitness centre' untuk membentuk 'six pack' dan badan berketul-ketul.Malam hari 'hang out' bersama rakan-rakan para yuppies di restoran atau cafe tertentu.Malam minggu pula terkinja-kinja di kelab atau disko.Sebulan sekali mungkin pergi untuk rawatan facial,manicure,pedicure dan urutan badan di spa.Koleksi kad kreditnya pula seperti koleksi setem.Kejap.Atau mungkin dia juga dia sebenarnya seperti mereka ini

Itulah gaya hidup orang seperti mat bebal tersebut.Semua kenikamatan dunia mampu dibeli dengan wang ringgit.Mungkin sebab itu dia merasakan dirinya merasa 'untouchable' dan boleh melanggar lampu merah sesuka hati ditambah dengan maki-hamun seolah-olah dia yang benar.

Oleh itu,Rais Yatim tak usahlah menyalak lagi suruh orang ramai "bersopan-santun dan berbudi-bahasa".Nilai kemanusiaan sudah tidak lagi mempunyai tempat dalam kehidupan di dunia ini yang makin hedonistik.Hidup dah tak membawa apa-apa makna lagi.Manusia tak lebih dari selonggok daging tanpa nyawa.Ketika manusia hanya sekadar binatang berakal,manusia menjadi pemangsa dan mangsa sesama sendiri, survival of the fittest.Naluri manusia telah menjadi buta oleh silauan kemewahan hidup - seperti ular senduk yang 'menari' mengikut alunan musik.Dan menjadi Machiavellian,apa saja cara dan alat boleh digunakan semata-mata untuk mencapai tujuan.Orang putih cakap "it's a dog-eat-dog world".

Secangkir kopi dan dihabiskan.Gua matikan api rokok.Nak pergi mandi.Kalaulah air boleh 'membersihkan' kembali kita manusia...

(p.s : Woit Nami,sebab ni lah gua tak jadi datang jumpe ko ari ni..emosi gua terganggu hahaha..nak call pun ko takde fon sekarang ni..huhu)