Jumaat, 5 Februari 2010

'Mitos Gua' Dan Perubahan







Setiap pagi apabila bangun,gua akan buat perkara yang sama setiap hari.Hisap sebatang rokok kemudian gosok gigi dan mandi.Keluar dari rumah singgah minum kopi di mamak yang sama.Kemudian gua naik bas yang sama ke tempat kerja.Guna jalan yang sama.Nampak bangunan-bangunan yang sama,pokok-pokok yang sama,berhenti di lampu isyarat yang sama,terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang sama.

Sampai pun pada waktu yang sama,mungkin berbeza tambah atau tolak beberapa minit saja.Ni belum masuk labon benda-benda sama yang gua buat di tempat kerja,masa makan tengahari,masa balik kerja,masa hujung minggu,dan dan dan...Kalau nak dicatatkan kesemua rutin tabiat,penuh satu entri nanti.

Seolah-olah kita boleh mati kalau kita tak ikut aturan harian kita.Gua boleh je pecahkan rutin gua.Tak naik bas tapi naik LRT.Alamak,nanti leceh kena jalan lebih jauh dari naik bas.Gua boleh jalan kaki ke tempat kerja sebab gua memang kuat berjalan.Alamak,nanti kena bangun lebih awal pulak.Itulah dia,kita berasa selesa membuat perkara-perkara yang hampir sama,hampir tiap-tiap hari.Lalu rasa menyusahkan jika ada perubahan. Manusia di zaman pasca-moden,kita seolah-olah penganut setia rutin tabiat ini.

Manusia pada umumnya memang takut kepada perubahan.(Woit,jangan salah faham,tulisan ni tak ada kaitan dengan Obama dan "change" nya). Kerana perubahan selalunya disusuli dengan bahaya risiko.Lebih-lebih lagi bila kita "ignorant",lagilah kita berasa takut.Ahli falsafah,Plato dalam Mitos Gua (Allegory of The Cave) mengisahkan betapa sempitnya pandangan manusia dan ketakutan kita kepada perubahan.

Dalam kisah Mitos Gua,sekumpulan manusia tawanan hidup dalam sebuah gua yang gelap dan tangan serta kaki mereka terikat.Namun mereka tidak menyedari bahawa tangan dan kaki mereka diikat.Mereka ini menganggap bayang-bayang mereka sendiri sebagai benda realiti dan bunyi-bunyi gema dalam gua sebagai bunyi betul.Tidak terfikir mereka yang semua itu hanya pantulan kepada realiti.

Ini merupakan satu metafora kepada sikap manusia yang hanya sedar kepada benda yang dapat mereka lihat dengan mata saja.Oleh kerana mereka hidup di dalam gua selama ni,mereka tidak terbayang dunia di luar gua itu.

Kemudian salah seorang dari mereka ini mula sedar bahawa selama ini hidup dan cara pandang mereka sangat terbatas lalu berusaha melepaskan diri dari ikatan.Saat dia berjaya lepas,dia sangat takjub melihat segala benda dan alam yang indah di luar guanya.Bermacam-macam warna yang belum pernah dilihat matanya,bau wangi bunga dan pokok yang segar ditambah dengan bunyi binatang dan aliran sungai.

Lantas dia pun kembali dan berteriak memanggil rakan-rakan lain di dalam gua,mengajak mereka untuk menyaksikan bagaimana rupa dunia di luar.Dia ingin menyedarkan mereka semua bahawa selama ini mereka semua hidup di dalam dunia dan pemikiran yang sempit.

Akan tetapi,mereka tidak mahu menyedari dan takut terhadap perubahan serta berfikiran sempit terbatas,mereka menganggap dia gila.Mereka marah dan membunuhnya.(Sebenarnya mentor kepada Plato,iaitu Socrates diperlakukan macam tu.Dia mati akibat dipaksa minum racun)

Walaupun ini cuma satu cerita rekaan oleh Plato namun sepanjang sejarah manusia,kita boleh nampak yang perkara seperti ini sering kali berlaku.Kita manusia masih mempunyai pemikiran yang sama seperti yang mahu diterangkan oleh Plato.Kita sentiasa mahu berada dalam ruang selesa (comfort zone) kita dan menolak perubahan dan hanya mahu percaya apa yang kita mahu percaya.

Teori 'Chaos and Order' mengatakan perubahan dibawa oleh chaos..Segala macam jenis tetapan,peraturan dan sistem dalam hidup ini membuatkan manusia semakin lama semakin ditumpulkan dan dimandulkan semangat melawan dan mahukan perubahan.Manusia telah dilatih dan diprogamkan untuk menjadi submisif atau mengalah serta tidak mempersoalkan langsung peraturan ciptaan manusia sendiri dan menolak apa saja yang menganggu gugat ketetapan

Satu contoh yang ketara sangat adalah kita sering menggunakan ayat seperti "tak logik langsung" bila kita terus menolak pendapat lain tanpa benar-benar memikirkannya dulu.Kita membuat semua keputusan dan perkiraan dari pandangan kita sendiri saja.Seolah-olah kita seorang mampu memahami segalanya.Akhirnya kita menjadi sangat naif dan sempit kerana fikiran tidak terbuka menerima idea-idea baru dan pencerahan.

Seperti yang dinyatakan tadi,chaos memang diperlukan untuk membawa perubahan - sekalipun dalam bentuk yang 'frontal'.Walau betapa klise nya pepatah "bersusah-susah dahulu,bersenang-senang kemudian",ia memang benar.Manusia masa kini memang dah terlalu 'manja' dan mengada-ngada.Kita bersembunyi dalam zon selesa kita dan berdegil enggan berganjak dan melawan untuk perubahan.Tapi tahu pula nak merungut dan mengadu bila kesusahan melanda diri sendiri seperti bila subsidi gula dan minyak petrol dihapuskan.

Ramai yang terperap dalam dunia dan pandangan yang terbantut.Dan yang paling buruk antara kita adalah yang datang dari kalangan yang mempersendakan dan memperlekehkan mereka yang berani mengambil langkah bangun melawan.Manusia bodoh sombong ini sama seperti manusia-manusia dalam Mitos Gua yang membunuh rakan mereka.

Seandainya kita tidak biarkan fikiran kita tersepit dan berani,kita boleh melakukan perubahan.Menyahut seruan dan berganding dengan mereka yang sejak awal memang memilih jalan untuk memulakan perubahan.Jangan jadi seperti manusia bodoh sombong dalam kisah Mitos Gua.

Jikalau gua berhak untuk menulis sambungan Mitos Gua Plato, gua pasti akan menulis pada akhirnya para manusia yang bodoh sombong itu diburu dan dihapuskan oleh manusia atau makhluk lain di luar gua itu akibat keengganan mereka untuk berfikir dan menerima perubahan.Padan muka.

Tapi bila difikirkan kembali, seperti yang disampaikan oleh filem Fight Club,manusia sejak dari primitif sebenarnya adalah pengembara,pemburu,pejuang,pemikir.Mempunyai semangat berjuang dan melawan.Cuma naluri asal ini telah tertimbus dalam sistem hidup sekarang.Naluri ini yang perlu diasah kembali.

Rasa seperti gua asyik ulang dan ulang semula topik entri yang lebih kurang sama? Er..pasal ini rasanya tidak perlukan perubahan kot.haha.