Sabtu, 13 Februari 2010

Antara Kedai Bundle dan 'Spectacle'



Gua amat menggemari kedai-kedai bundle.Sekurang-kurangnya sebulan sekali gua akan meleser ke sekitar Chow Kit terutamanya, untuk berbelanja di kedai bundle.Rasa-rasanya hampir 80% pakaian dan kasut-kasut gua adalah barangan bundle.Ini bukan kerana gua seorang yang kedekut atau menganggur tapi kerana gua menganggap inilah salah satu cara gua memprotes budaya konsumerisme kapitalis atau sebenarnya,lebih tepat lagi - mengurangkan sumbangan gua kepada budaya celaka itu.

Tapi kebelakangan ini kian ketara satu lencongan yang makin memesongkan budaya membeli barangan bundle ini - kedai-kedai yang menjual bundle pada harga yang mahal sekali.Harga sudah macam butik-butik di Pavilion atau The Gardens.Kalau dulu mungkin cuma kedai Buntil yang menaikkan barangan bundle ke tahap eksklusif tapi kini kedai-kedai "bundle eksklusif " tumbuh bagai cendawan.Tak kira apa jua alasan - barang 'rare',barang yang sudah tiada dalam pasaran atau barang tidak lagi dalam production - gua tetap menganggap ini sudah sesat dari niat sebenar bundle.Kalau harga kasut bundle boleh cecah beratus-ratus,macam ini tak ada beza dengan berbelanja di butik-butik designer.

Bundle yang dulunya sinonim dengan semangat melawan arus kini telah dijebak dengan apa yang dipanggil sebagai 'spectacle'.Sebenarnya apa yang terjadi kepada bundle kini adalah akibat budaya underground dan indie yang terlebih dahulu dipesongkan menjadi 'spectacle'.Budak-budak indie poseurs yang mahu dilihat cool akan membeli barangan bundle.Padahal langsung tak faham tujuan asal bundle apatah lagi  niat asal musik yang mereka layan itu.

'Spectacle' ini bukan cermin mata,yang itu 'spectacles',ada 's' dihujung.Spectacle adalah satu teori Situationist dan Marxist yang diterangkan oleh Guy Debord melalui bukunya The Society of The Spectacle.Debord melanjutkan lagi konsep Theory of Alienation oleh Karl Marx .'Spectacle' adalah satu ilusi yang diwujudkan melalui komunikasi media moden,terutamanya.Apa yang tulen digantikan dengan representasi.Imej-imej digunakan untuk mengasingkan sesuatu dari sumbernya dan disusun semula untuk membentuk representasi yang seiring dengan ideologi kelas yang berkuasa.Kita diperdayakan melalui imej-imej yang menyebabkan kita menganggap apa yang kita nampak itu adalah apa yang kita mahu dan perlukan.Seperti yang diperkatakan oleh Guy Debord, "“All that was once directly lived has become mere representation”.Kita tidak lagi hidup pada realiti tapi cuma pantulan dari realiti.

Contohnya,sebuah iklan kereta di televisyen menunjukkan betapa senang-lenang nya si pemilik kereta yang tidak perlu bergelut dalam kesesakan LRT atau bas bila pergi kerja.Dia tersenyum ketika memandu dan begitu selesa.Ini untuk memberi satu ilusi kepada kita bahawa hidup kita akan lebih baik dan sempurna dengan memiliki kereta.Akan tetapi,pada realitinya kita tetap terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas,terpaksa membayar hutang setiap bulan kepada bank kerana membelinya,membayar kos membaiki kereta jika rosak dan sebagainya.Hidup kita tetap susah juga,tak tersenyum macam kerang busuk seperti model iklan itu.

Spectacle adalah satu sistem penyusunan semula fikrah manusia yang  menjadikan manusia terasing (alienated),sekadar mengamat dan membuat kata putus atas penerimaan imej-imej yang terbatas.Tapi spectacle bukan sekadar sebuah kumpulan imej-imej tapi sebenarnya ia adalah hubungan atau jaringan sosial antara kita manusia yang dikawal dan dipengaruhi oleh imej.Hubungan nyata antara manusia tidak dihubungkan terus tetapi akan melalui imej terlebih dahulu.Imej menjadi perantara atau orang tengah.

Contoh kepada ini,seorang selebriti seperti David Beckham atau Robert Pattinson mengubah gaya rambutnya maka ramailah anak-anak remaja seluruh dunia meniru gaya rambutnya - kerana bintang seperti mereka dianggap sebagai imej ideal untuk diasosiasikan.Ketika ini,tatkala Hujan dan Bunkface naik popular,tiba-tiba muncul begitu ramai budak-budak sekolah yang mahu jadi 'indie' dan 'underground' -  mereka cuma menjadi konsumer yang diperdaya oleh 'spectacle'.Kalau zaman gua sekolah dulu,semua memandang hina dan jijik terhadap budak-budak underground.'Indie' dan underground ini dulunya diserang di zaman pemerintahan Mahathir Mohamad kerana menghasilkan anak-anak muda yang melawan arus,kini telah diolah dan asingkan dari imej asalnya dan digantikan dengan imej sekarang ini yang tidak berbahaya kepada pemerintah.

Akan tetapi proses pensemaian spectacle ini bergerak lebih jauh dan lanjut - spectacle menjadi topik utama percakapan,perbualan dan perbincangan.Komunikasi tentang perbualan hidup yang nyata diketepikan dan didominasi oleh borak-borak mengenai Akademi Fantasia contohnya.Sering kita dengar orang-orang bercakap tentang hal remeh seperti ini ke tahap seperti berdebat malah ada yang sampai bertelingkah dan marah-marah.Hal-hal yang benar-benar mempengaruhi hidup seperti polisi-polisi yang dibuat oleh kerajaan yang mendatangkan kesan kepada hidup langsung tidak dihiraukan.Spectacle telah berkesan digunakan untuk melalaikan kita daripada berfikir dan mempersoalkan perkara-perkara yang sepatutnya.Kita telah menjadi 'pacifists'.

Imej-imej spectacle menyedut 'hidup' daripada kehidupan itu sendiri - Mengakibatkan hidup sekarang ini makin lama makin plastik.Kita berusaha untuk mengejar dan mendapatkan imej-imej yang dianggap dapat menampilkan diri kita atau memberi makna kepada wujudiah kita.

Bahkan dalam hubungan percintaan,kita secara terus-menerus mahu meletakkan imej yang kita mahu antara sesama sendiri. Hukum 'memberi dan menerima" makin hilang.Pada sudut lain,ramai juga yang mahu ada hubungan cinta kerana nampak orang lain pun bercinta.Seolah-olah jika tidak,kita ada masalah besar.Kita merasakan kita akan dianggap pelik atau juga dilihat sebagai 'loser' atau kita merasakan yang kita akan mati kesunyian tanpa kekasih yang tetap.

Barang dan komoditi yang dihasilkan oleh titik peluh golongan pekerja proletariat - yang merupakan bahagian penting kepada spectacle,dijual kembali kepada proletariat.Spectacle telah menyebabkan dorongan konsumpsi yang semakin meruap-ruap.Semakin lama,semakin sedikit pertukaran yang tidak dilakukan tanpa wang ringgit.Konsumpsi komoditi menjadi satu-satunya bentuk konsumpsi yang ada.

Boleh disimpulkan bahawa spectacle adalah modal atau kapital yang dalam peringkat tertentu telah terkumpul menjadi imej.Spectacle adalah modal yang menciptakan sebuah dunia yang berisi imejnya sendiri.Dalam kata lain,modal adalah 'tuhan' kepada material dan 'spectacle' adalah agama material.Spectacle - dalam segala macam bentuknya adalah 'spectre'(hantu)  yang telah menguasai dunia. Dunia yang telah didodoikannya.

Jika hendak berlagak kaya,kita tak perlu bersusah-susah - boleh meminjam dengan bank atau melabur dalam pasaran saham.Jika hendak menjadi pandai - cuma belajar dengan menghafal kandungan sukatan pelajaran. Jika mahu menjadi seorang yang ada nilai kemanusiaan - cuma derma kepada tabung bencana.Jika ingin memberontak - cuma layan lagu-lagu Bunkface dan beli pakaian bundle mahal-mahal. Itulah dia adalah antara contoh-contoh bagaimana hidup kita sama ada sedar atau tidak, sedang diatur oleh spectacle.


p.s Selamat Hari Kekasih dan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua. Contohi kegagahan harimau.Tapi bukan Tiger Woods.