Ahad, 14 Februari 2010

Bila Banyak Sangat Persoalan Dan Ketidakpastian





Terlampau banyak hal yang berlaku di dunia.Segala macam perkara - baik dan buruk.Tapi yang buruk jauh lagi banyak,lebih dari majoriti dua pertiga,seperti yang diimpikan BN dalam parlimen. Ada sesetengah orang percaya dunia akan kiamat tahun 2012 nanti.Kalau betul,bagus lah wei! Sebab ramai,termasuk gua,yang dah gerun dan tak sanggup memikirkan lagi macam mana masa depan di dunia- terutamanya di 1Malaysia ni.

Saluran media pembodek saban hari memuntahkan berita si malaon besar ini pergi jalan kat Petaling Street tunjuk muka konon mesra rakyat,si timbalan malaon besar pula cakap ada orang-orang di Hong Kong dengki kepada negara kita yang hebat ini lalu menabur fitnah.Rakyat Malaysia cukup makmur dan gembira,menurut si malaon itu lagi.Apa lagi berita? Kisah Tiger Woods lepas tu John Terry pulak. Akhbar terulung negara yang mencanai minda rakyat pula semalam keluarkan berita Ziana Zain melecur terkena air panas.Ok,terima kasih kerana beritahu semua itu.Sangat berguna.

Di saluran-saluran alternatif yang boleh dipercayai pula,ada berita si katak yang cukup gemarkan padang golf berkata dia melompat atas nama Tuhan.Fuyoo! Dan ada lagi berita berudu-berudu yang bakal menjadi katak.Kapal selam rosak tak boleh selam tapi ada mat bebal cakap kat wartawan "ini tidak menjejaskan operasi kapal selam berkenaan".Lepas itu tadi ada berita seorang setiausaha kepada seorang malaon ni ditangkap kerana rasuah.Woit,cukuplah.Berdarah otak gua.Kadang-kadang ada benar juga pepatah "ignorance is bliss".

Hari-hari gua baca benda-benda macam tu.Fakta,khabar angin,dongeng,kelentong,putar-belit.Berulang-ulang benda yang hampir sama hampir setiap hari.Hidup ini satu pengulangan.Bentuk dan corak yang hampir sama datang dan pergi kemudian datang semula dan gua wonder apalah tanda dan maknanya kepada dan mengenai hidup kita.Tomok pernah menyanyi "sejarah mungkin berulang".Dia kurang tepat,sekarang sejarah memang sentiasa berulang.Tapi sejarah ni pun bikin pening lah.Biasanya yang 'menang' dan berkuasa yang menulis atau mengawal sejarah.Ini berlaku di mana -mana pun.Susah nak pastikan benar-benar sahih atau tidak.Lalu membuat gua merenungkan berapa banyak yang kita yakini itu betul dan berapa banyak pula ilusi yang disuapkan kepada kita.

Kita berada di zaman di mana sesiapa pun boleh menyiarkan apa saja - tulisan,video,gambar,etc ke seluruh dunia.Dan cuma harga tiket kapal terbang saja yang menghalang kita untuk menjejakkan kaki hampir di mana-mana tempat dan ceruk di dunia ini.Nampaknya kita manusia kini sudah berada di kemuncak pengetahuan dan penemuan dalam apa saja bidang yang ada.Kita seperti sudah tahu apa saja untuk diketahui.Tapi kita masih banyak keraguan dan ketidakpastian.Kita masih bergelut,berkejar,terburu-buru - nampaknya ada sesuatu yang belum kena dengan kita.Tapi kita pun tak tahu apa dia.Atau kita hidup kita sekarang ini cuma satu kepura-puraan dan kepalsuan.Suka gua untuk mencuri dan mencacatkan sedikit ayat Charles Dickens di sini, "The best of times,the worst of times".Itulah kita di kala ini.

Bila gua meluangkan masa mencari,membaca,meneliti bermacam-macam berita,tulisan dan apa saja bentuk maklumat - kadang-kadang terlintas di benak kemungkinan kita manusia semakin "de-volving" ,devolusi bukan evolusi.Mungkin kalau Charles Darwin hidup semula dan memikirkan apa yang berlaku zaman kini,dia akan mempersoalkan dan meragui malah mungkin akan menarik balik teori evolusinya.

Kita hidup dalam era yang mengelirukan.Makin hari,kita makin susah untuk terkejut dengan apa-apa yang berlaku.Kita sudah mamai,mabuk,lena dan lali dengan muntahan pembohongan,putar alam dan pengkhianatan yang dihidangkan sebagai santapan harian.Kita bagai sudah menuju semula kepada mentaliti 'barbaric' nenek moyang zaman purba kita.

Sejak dari kecil kita sudah belajar berebut,belajar "berperang".Kita berebut ketika bermain jongkang-jongket di taman permainan.Semasa remaja,mungkin berebut awek atau balak.Sampai besar dewasa pun macam ini.Prang di sana-sini.Tidak semestinya perang bersenjata.Melayu vs Cina,lelaki vs perempuan,rock vs hip hop,timur vs barat,Malaysia vs Indonesia,segala macam vs lah.Kalau dah melibatkan agama,lagilah bikin panas,bikin kacau-bilau.Makin besar makin macam lahanat manusia ni,makin devolusi.

Memang sering orang memberitahu bahawa banyak yang kita nampak,rasa dan alami di sekeliling kita adalah ilusi.Akibat daripada manipulasi terhadap ketakutan kita - yang seterusnya membuatkan kita secara tidak sedar menkonstruk lagi lebih banyak ilusi lanjutan.Pernah gua dengar sebuah analogi yang dunia dan persekitaran ini adalah bagai wad gila dan matlamat kita adalah untuk survive mengekalkan pandangan kita kepada fakta dan kebenaran.Gua tidak meragui teori-teori wujudiah seperti itu.Akan tetapi seperti kalau kita masuk ke dalam tangki kumbahan,sudah tentu kita tak dapat elak dari terkena sisa kumbahan.Ertinya walaupun kita memahami bagaimana kita dimanipulasi, tak mungkin kita sendiri boleh elak dari terkena juga - kerana kita bukannya hidup di dunia yang berbeza dari orang-orang lain.

Sesetengah orang berkata bahawa realiti itu adalah apa yang kita mahukan sebagai realiti atau fakta.Lain orang pula cakap kita akan sentiasa berada dalam telunjuk atau penentuan orang lain yang lebih berkuasa dan ada yang cakap,pinjam ayat Khir Toyo - "semuanya OK!",tak payah nak risaukan apa-apa.

Bila bercakap mengenai fakta,hakikatnya fakta boleh berubah.Ini pasti masing-masing pun pernah alami sendiri.Apa yang diterima sebagai fakta - atau pengetahuan yang diterima umum, boleh berubah dari satu generasi ke generasi yang lain.Yang diterima sekarang,mungkin ditongsampahkan minggu depan,bulan depan,tahun depan dan sekian.

Generasi ibu dan ayah kita dipengaruhi dan dibentuk atau sebenarnya, dimomokkan oleh tragedi 13 Mei 1969.Tapi hantu silam itu dah makin di"exorcise" atau dihalau dan ditenteramkan.Trauma dan ilusi lampau kian terhakis.Kini generasi kita anak-anak muda kini digilap oleh kisah 1998 dan 8 Mac 2008.Kita tahu dalam sejarah,sentiasa akan ada peristiwa besar yang akan merobohkan tembok-tembok lama peristiwa yang berlangsung sebelumnya.Peristiwa demi peristiwa akan terus berlaku.Hah,kan betul Tomok cakap,sejarah berulang .Persoalannya cuma sama ada akan sampai nanti peristiwa yang akan membina semula dinding yang dah jatuh atau pun terus menolak lebih luas ruang yang ada.

Pernah gua diberitahu bahawa kita cuma memerlukan tiga generasi untuk mengubah pemikiran sebuah negara bangsa.Tapi yang tiga generasi itu bermula bila?Generasi pertama untuk perubahan dah bermula belum?Sekarang yang ke berapa daripada tiga tu?Berapa lagi generasi sebelum berubah? Ni yang leceh ni,tidak ada siapa boleh pastikan atau beri jawapan.

Gua banyak menghabiskan masa meneroka apa orang kata dan fikir - tidak kira daripada yang hidup,yang telah mati,yang bakal mati,yang bijak pandai,yang biasa,yang bodoh,yang ignorant atau bodoh sombong,yang yakin,yang tak yakin,dan dan dan.Kerana mahu mencari kebenaran atau sekurang-kurangnya petunjuk.Segala jenis orang dan sumber boleh memberikan kita sesuatu.Tapi gua lebih berminat dengan mereka yang belum menemui kepastian dalam fikiran mereka.Mereka yang masih menanya,bertanya dan mempersoalkan.

Bila gua melayari laman-laman,portal-portal dan blog-blog,gua nampak banyak tenaga,masa dan fikrah dilaburkan untuk mencernakan fakta-fakta dan maklumat.Tak kiralah sama ada yang mengajak kita meneliti fakta berita dan membuka minda terhadap pembohongan sambil berkahkahkah atau yang membetulkan fakta,mahu pun yang menghasilkan putar-belit untuk melawan putar-belit dan yang menghasilkan putar alam serta yang mempertahankan auta dan pembohongan.Kita cuma boleh mengikut tanda dan isyarat yang diberi.

Jika kita terlalu memikirkan perkara-perkara yang terjadi di sekeliling kita,di negara kita dan juga dunia,kemungkinan kita menjadi takut,kecut dan pessimistik.Akan tetapi jika kita menganggap yang kita akan selamat,tak terancam dan selesa dengan tak ambil pot langsung dan tak lakukan apa-apa,itu perangai bodoh sombong.Inilah dilema atau conundrum yang terpaksa kita hadapi.

Sebab itulah,walaupun sekarang ini kepala otak gua cukup letih dan muak dengan segala macam benda yang gua benci, gua akan tetap membaca dan memerhatikan pemberitahu fakta dan pemutar ilusi.Akan gua terus cuba mencari corak-corak dan tanda-tanda untuk menemukan makna dan fakta.Sebab semuanya berulang-ulang,datang dan pergi,datang semula.Hari ini gua hilang mood,esok pasti kembali semula.Dan maaf tulisan ini agak tak teratur.Fikiran berterabur.


Tapi sempena malam di hari yang gumbira ini,fakta ini saja yang gua fikir hehehe  :