Sabtu, 29 Mei 2010

Langit Milik Kita Tapi Kita Tetap Hidup Di Atas Tanah Walau Apa Pun



Gua mengaku yang gua cukup meluat dengan musik-musik genre techno,trance,house,dangdut dan apa saja nama mazhab-mazhab pecahan lain dari akar-umbi dance.Tapi ini sebenarnya tidaklah benar sebenar-benarnya.Orang putih cakap "there are exceptions to this rule" - ada beberapa pengecualian kepada 'hukum' ini.

Cocteau Twins,Sigur Ros,Radiohead adalah beberapa contoh band-band yang gua minat.Akar mereka adalah rock tapi mereka banyak memasukkan elemen-elemen dance dan elektronika dalam musik.Ini seperti klip video yang gua tampal di atas.Band M83 dari Perancis yang menggaulkan elektronika,dream pop,shoegaze (walaupun bunyi 'rock' dorang agak kureng).

Gua diperkenalkan kepada band ni semasa kat Scotland dulu bukan oleh majalah musik online yang kononnya kritikal dan analitikal (ye ke?), pitchfork.com. Tapi oleh seorang gadis.Hmm..nostalgia.Pasal kenapa band Perancis ini menulis lagu bukan dalam bahasa sendiri tapi bahasa seteru abadi mereka kerana bukannya pakcik atau makcik di pekan Goult faham Inggeris pun - jangan tanya gua.

Saat gua menaip baris ketiga ini,putaran jam dinding telah berputar 360 darjah sebanyak hampir 2 kali sejak titik noktah akhir perenggan kedua.Baru gua perasan abjad '2' pada jam tu dah tercabut.Satu hal yang memang kecil lagi remeh tapi terlepas dari pengamatan gua kerana kononnya gua terlalu sibuk dengan hal-hal yang besar."Hal-hal besar" yang sebenarnya bila difikirkan kembali hanya seperti hembusan asap rokok dari mulut gua - terbang ditiup angin dan lesap.

Ramai orang hairan dan takjub melihat gua memikirkan hal-hal yang mereka anggap terlalu berat dan pada masa yang sama juga perkara yang mereka anggap terlalu remeh.Tapi penghakiman macam itu cuma boleh gua terima saja - cuma mampu telan air liur.

Gua tahu kadang-kadang keyakinan dipertahankan bukan dengan cara bertahan tapi menyerang.Atau mungkin seseorang tidak habis-habis mempertahankan apa yang dipegang kerana tiada apa untuk diserang?Mungkin sudah cukuplah melakukan penyangkalan dan mempertahankan.Atau mungkin sebab gua tak ada apa untuk dipertahankan? Entahlah.

Mungkin tak apalah jika cinta kepada musik,sastera atau seni dianggap sesuatu yang tidak bermanfaat.Kerana kita pun menganggap sesetengah atau banyak benda yang orang tidak sekepala buat sebagai tidak berguna,mungkin menyusahkan.

Sama ada ada sesuatu yang kita perjuangkan adalah bermakna atau layak ditongsampahkan saja - bak kat seorang gadis dulu, hanya orang itu sendiri (yang buat benda itu) saja berhak untuk menghakiminya sendiri.

Tapi memang kita wajib sedar terlalu banyak benda-benda remeh yang memaksa kita terpaksa memburuh untuk dapatkan.Tak setuju,tak suka tapi tetap kena buat pengecualian kerana kita tidak mampu elak.Memang betul dan tepat penggunaan istilah "memburuh" seperti yang gua dengar dari mak dan ayah gua sejak kecil untuk menggantikan kata "bekerja" - bukan mendramatikkan keadaan sebenar.Persepsi kita terhadap sesuatu memang akan menjadi utuh apabila kita sendiri menghadapinya dan kita rasai dengan segenap indera kita sendiri.

Dunia yang besar ini begitu banyak 'dunia-dunia kecil' atau diorama yang mewakili berbagai aspek-aspek hidup - untuk kita terus kutip dan terus kutip sepanjang hidup.Menyedari hakikat sebegini,gua wajib mengekalkan kesedaran dan tidak terlelap atau berasa terlalu selesa sehingga malas dan tidak mahu lagi beranjak untuk terus mengutip.Lalu kenapa gua harus melangok di dalam satu ruang sempit?Gua takut gua menjadi seorang penakut yang gagal bergerak kerana telah hilang kesedaran.Gua ingin hidup sebagai seorang yang berani.Dengan keberanian untuk masuk ke sebuah ruang tanpa takut dengan kenyataan bahawa wajib meninggalkannya nanti untuk pergi ke yang lain pula.

Dunia ini adalah sebuah sekolah atau universiti yang terbaik.Dan seringkali kita menjadi murid yang terlalu bodoh sombong untuk menerima pelajaran yang terpacak di depan mata kita.Atau kita enggan belajar kerana rasa kita terlalu pandai untuk diajar.Hal seperti ini berlaku apabila kita masuk ke satu ruang baru yang asing.Kerana kita takut akan perkara yang asing kita tidak mahu meneroka.Dengan ini kita secara tidak sedar meletakkan batu-batu di depan,belakang,kiri,kanan sehingga sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit - akhirnya kita gagal nampak apa disebalik batu-batu itu.

Gua rasa kita tidak boleh berpegang kepada falsafah "berani untuk gagal".Gua teringat kepada Billi Lim penulis buku "Dare To Fail/Berani Gagal".Seorang mamat yang menyamar sebagai intelektual dan kemudian memasang niat menjadi politikus.Mungkin sebab falsafah ini lah menyebabkan si mamat ini yang pernah bertanding sebagai calon bebas di kawasan parlimen Bukit Bintang pada 1999 dan 2004,bukan setakat  kalah tapi hilang depositnya kedua-dua kali. Gua tahu gua wajib "berani melawan,berani menang" bukan "berani kalah".

Tapi entah kenapa gua rasa hidup ini setakat ini memang baik dan memihak kepada gua.Bukan sebab gua dapat apa saja gua nak.Tidak langsung seperti itu.Tapi kerana gua anggap hakikat yang kita takkan mendapat semua yang kita mahukan sebagai kesempatan untuk terus mencuba itu dan ini - terus bereksperimen.Jika ditanya soalan berbentuk analogi - sama ada gua mahu masuk ke hutan atau pergi ke pantai,gua akan menjawab masuk ke hutan.Kerana hutan memberi cabaran manakala pantai jika kita mahu senang dan lari dari cabaran.

Di dalam ruang kecil,kita hanya boleh bertahan.Tetapi bila kita keluar dari ruang kecil itu,kita akan berada di kawasan lebih luas untuk kita bergerak bebas untuk melawan dan menyerang bukan setakat bertahan.Mempertahan dan menyangkal memang adalah sebenarnya akibat rasa takut.Melawan dan menyerang kerana kita yakin dengan pegangan kita.

Semakin kuat kita mempertahankan sesuatu semakin kuat pula rasa takut untuk kehilangannya.Lebih baik kita berusaha mandapatkannya dari terus bertahan.Dan bila kita asyik mendongak ke langit,mungkin kita rasa ruang kita sudah terlalu besar.Kita gagal pandang ke sekeliling dan tengok realitinya kesempitan ruang kita.Semuanya yang kita ada dan mahukan berada di atas tanah,buat apa pandang langit? ( Woit,Ultraman pun turun dari langit untuk melawan kat bumi bukan lawan di langit)

Tapi nanti dulu.Macam tentang musik di awal tadi,boleh ada pengecualian tentang analogi langit ini.Mungkin boleh gua dan kita semua gunakan untuk mendorong diri untuk mahukan ruang bebas  bumi yang seluas langit.

Tulisan ini akan berakhir dengan titik noktah dan setiap perkara dan benda dalam hidup ini juga kan menemui titik noktah.Tapi akan ada tulisan lain selepas ini dan dalam hidup juga akan ada hal lain untuk disambung selepas sesuatu itu tamat.

Nota: Sepatutnya ini review musik tapi dah jadi hal lain pulak.kahkahkah..