Ahad, 6 Jun 2010

4 Jam Di Tengah Kota

 

Jam Pertama

Di kota ini apa nak dikata
aku seperti sesat di kota
aku kian celaru
dalam lautan remaja-remaja
yang gaya mengalahkan Harajuku

adakah aku mencari sesuatu
di lautan perempuan
dan laki-laki
berseluar ketat warna-warni
begini nampaknya
aku memang sesat di sini

wajah-wajah muda yang bergerombol ketawa riang
ada yang bercanda bahasa cinta berpacaran
bagi diri aku yang sering kekurangan cinta
aku cuma senyum sendiri
memang bunyinya klise tapi aku tumpang gumbira
atau
mungkin mereka mahu membuktikan pada aku
akan kewujudan cinta yang tidak gagal





Jam Kedua

Kerap ada keluh
untuk Kota Lumpur yang lumpuh
oleh kesesakan yang tidak pernah putus
atau buat sesak?
oleh kesibukan yang tidak pernah puas
atau buat sibuk?

Sayangnya kota ini
telah menjadi koleksi
kekecewaan
dan maki-hamun
sumpah-seranah
dan kita menjadi tua
dengan lebih cepat di dalamnya

sedar atau tidak
kota ini cuma sebuah kampung yang terlalu besar
tempat semua orang
mahu membuat peraturan
menentukan ketentuan
dan lingkungan-lingkungan pergaulan
inilah kebahagiaan?

ada juga cerita lain
tentang bangunan-bangunan mewah
yang dibina entah untuk siapa
yang aku nampak
wajah-wajah yang memenuhi jalan
mereka semua tak mungkin
menetap di sana

memang aku nampak
kita semua tahu
kota ini berpura-pura gumbira
menyembunyi duka

 

Jam Ketiga

Kedai buku tempat paling tidak sesak
yang sesak pun seksyen yang diberi nama
"Novel Melayu"
dan kawasan buku-buku cara mengawan
dan tips menjadi kaya

Mungkin aku terlalu sinikal
ok,aku wajib bernada positif
maka aku ingin beritahu
yang tadi aku terdengar seseorang bersurah
bahawa kedai buku tidak lagi menarik
untuk dikunjungi


 

Jam Keempat

Eskalator terus bergerak
di tepi eskalator
kehidupan terhenti
ramai menunggu
mungkinkah menunggu sang kekasih
mungkin menunggu filem
yang akan ditayang satu jam lagi
cerita jiwang happily ever after
untuk kasi senang hati dan terus mengharap

menjelang malam tapi belum malam
akan nampak
orang-orang memesan roti toast
atau kuih-muih
untuk menunda makan malam

itulah kita dan hidup kita:
menanti,mengharap,menunda



Masa Tambahan - Masa Untuk Pulang

Malam demi malam
jalan untuk pulang terasa makin panjang
terasa makin lama
kerana sentiasa lahir
dunia-dunia untuk diterokai
yang membuat rumah yang diami
menjadi lebih membosankan
dari apa yang  pernah disedari

Baguslah aku masih berfikiran begini
erinya aku masih mahu terus menikmati hidup
masih mahu menyepak (atau mengelak )
apa yang hidup lontarkan pada aku

Tak ada ayat burung camar pulang ke sarang
seperti dalam lagu pop zaman 50-an atau 60-an
atau seperti puisi gaya lama
tiada juga aku sebut nelayan menarik sampan bersendirian
sebab aku duduk di Kota Lumpur
yang  burung pun tidak sanggup tinggal
yang tidak menyimpan ikan-ikan
kecuali di pasar-pasar dan akuarium rumah

Kota yang akan melebarkan lagi
keterasingan wujudiahku...